Kes Weinstein ditangguh ke September


Harvey Weinstein yang dahulunya lelaki paling berpengaruh Hollywood kini dipinggir selepas didakwa lebih 80 wanita termasuk pelakon ternama melakukan serangan dan gangguan seksual. – Gambar AFP, 26 April, 2019.

PERBICARAAN kes serangan seksual penerbit Hollywood Harvey Weinsten akan berlaku pada 9 September, tiga bulan lebih lambat daripada jangkaan, kata seorang hakim New York semalam.

Weinstein- ‘pencetus’ gerakan anti gangguan seksual #MeToo- didakwa kerana menyerang dua wanita dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, perbicaraan dijangka mengambil masa lima minggu.

Salah seorang peguam lelaki berpengaruh berusia 67 tahun itu, Jose Baez, mengalu-alukan penangguhan perbicaraan, berkata: “Ini akan memberikan kami peluang mencukupi untuk kes tersebut, bercakap dengan orang yang tampil dan memberitahu kami tentang perkara yang boleh membantu kes En Weinstein.”

Penangguhan itu diumumkan selepas pendengaran tertutup selama empat jam bagi memutuskan sama ada wanita selain dua penuduh boleh memberi keterangan di perbicaraan itu.

Hakim James Burke mencadangkan keputusannya mengenai perkara itu tidak didedahkan kepada umum sehingga perbicaraan bermula.

Sejak Oktober 2017, Weinstein- salah seorang lelaki paling berpengaruh Hollywood sebelum skandal salah laku seksual menjatuhkannya- dituduh melakukan pelbagai serangan dan gangguan seksual oleh lebih 80 wanita termasuk pelakon ternama seperti Ashley Judd, Angelina Jolie dan Salma Hayek.

Kerana sesi pendengaran tertutup, tidak dapat dipastikan berapa ramaikan wanita tersebut- banyak tuduhan terlalu lama untuk dijadikan kes mahkamah- akan dipanggil pendakwa raya Joan Orbon-Illuzzi untuk memberi keterangan.

Keterangan mereka boleh jadi bahan utama, seperti yang berlaku dalam perbicaraan bekas bintang TV Bill Cosby yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dalam kes gangguan seksual pertama berjaya diheret ke mahkamah dalam era #MeToo.

Selepas pendengaran, Baez berkata hasrat pendakwaan yang mahukan wanita tersebut selain penuduh memberi keterangan secara umumnya “bermanfaat kepada pembelaan”.

Ini adalah kerana pendakwaan tidak boleh membuktikan kes berdasarkan keterangan penuduh semata-mata, katanya. – AFP, 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen