HUJAN lebat menyebabkan banjir di beberapa bahagian di ibu kota Jakarta, Indonesia, kata agensi bencana hari ini, menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan.
Sungai Ciliwung melimpah ke tebing dan menyebabkan banjir kilat di sekurang-kurangnya 17 kawasan penempatan.
Berpuluh-puluh penduduk di beberapa bahagian di timur Jakarta, di mana banjir sering berlaku bila musim hujan, terpaksa meredah banjir di jalanan dengan air setinggi 1 meter.
Gambar dirakamkan di beberapa bahagian di ibu kota itu menunjukkan orang ramai mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi dengan barangan berharga mereka, sementara pihak berkuasa cuba untuk menyelamatkan penduduk di kawasan teruk terjejas menggunakan bot getah.
Dapur-dapur awam dibuka di Jakarta timur untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Kami menggesa orang ramai sentiasa berjaga-jaga kerana kemungkinan akan berlaku lagi banjir,” kata agensi bantuan bencana Jakarta dalam satu kenyataan, menambah paras air di beberapa empangan masih membimbangkan.
Agensi itu berkata pada masa ini belum ada laporan kematian atau kecederaan.
Pada Rabu, sekurang-kurangnya empat maut dan dua dilaporkan hilang selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Jawa Tengah, lapor media tempatan.
Banjir sering berlaku di Indonesia, terutama pada musim monsun antara Oktober hingga April.
Bulan lalu sekurang-kurangnya 104 maut dan lebih 10,000 terpaksa dipindahkan selepas banjir kilat dan tanah runtuh di Papua, di timur Indonesia. – AFP, 26 April, 2019.
Komen