GESAAN untuk menukar nama program Food Bank Malaysia kepada Tabung Makanan boleh ditangguh kerana keutamaan kini adalah untuk memberi bantuan makanan kepada rakyat, terutamanya golongan miskin, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.
Menyifatkan penubuhan program berkenaan sebagai antara kejayaan terbesar dalam satu tahun Pakatan Harapan berkuasa, Saifuddin berkata program itu bukan hanya membantu keluarga kurang bernasib baik tetapi juga mewujudkan peluang kepada masyarakat untuk menjadi sukarelawan.
Menurut beliau terdapat gesaan daripada pelbagai pihak untuk menjenamakan semula program ini kepada Tabung Makanan bagi melambangkan bahasa kebangsaan.
“Saya terima nasihat daripada penyokong bahawa Melayu untuk menukar namanya ke bahasa Melayu. Bagaimanapun proses ini akan mengambil masa kerana Yayasan Food Bank telah berdaftar dengan Jabatan Perdana Menteri.
“Buat masa ini, kita akan kekal dengan jenama Food Bank, apa yang penting adalah kita membantu rakyat,” katanya pada sesi wawancara baru-baru ini.
Saifuddin turut menyatakan keterujaannya dengan program berkenaan.
“Saya berasa dekat dengan program ini. Kita mahu wujudkan dasar pembaziran sifar dan kita tubuhkan program Food Bank. Kita wujudkan banyak peluang kepada masyarakat untuk menjadi sukarelawan tanpa ganjaran.
“Yang keduanya, kita mampu membantu golongan kurang bernasib baik. Kamu mungkin dapat makan tengahari dan makan malam tetapi masih ada masyarakat kita di luar sana yang susah untuk makan. Kita tidak boleh abaikan golongan ini dan program Food Bank ini dijalankan tanpa birokrasi,” katanya.
Tambahnya, program itu juga turut mendidik premis makanan, hotel dan restoran agar tidak membazir.
“Lebih baik mereka sumbangkan makanan kepada kita untuk kita bantu mereka yang memerlukan.
“Mewujudkan program ini memberikan saya kepuasan,” kata Saifuddin.
Namun kewujudan program Food Bank sahaja tidak mampu menyelesaikan isu kos sara hidup yang mana beliau akui masih tinggi dan menjadi “kebimbangan utamanya”.
Satu cara untuk mengurangkan kos sara hidup adalah mengembangkan sektor e-dagang agar orang tengah boleh disingkir, dan dengan cara itu, kos tambahan juga dikurangkan, katanya yang juga setiausaha agung PKR.
“Saya mahu mengurangkan kos sara hidup. Ia merupakan kebimbangan utama saya. Salah satu cara adalah dengan e-dagang.
“Sektor ini boleh mengurangkan beberapa lapisan perniagaan. Hanya akan ada pengeluar dan pengguna jadi harga akhir tidak akan naik.
“Saya juga mahu negara ini mempunyai pengguna yang tahu maklumat. Saya agak kecewa bahawa selepas 10 bulan, saya tidak dapat menjangkau orang-orang di luar sana untuk menyerlahkan isu penting ini.
“Saya masih belajar dengan golongan pakar berhubung bagaimana saya mahu mencapai kepada pengguna,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu. – 26 April, 2019
Komen