PERDANA Menteri India Narendra Modi pada Jumaat mengemukakan borang pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Varanasi di Uttar Pradesh pada pilihan raya umum India, lapor agensi berita Xinhua .
Pengundian di Varanasi dijadual pada 19 Mei. Setakat ini, tiga peringkat pilihan raya telah berlangsung iaitu pada 11 April, 18 dan Selasa.
Keputusan rasmi pilihan raya dijangka diumum pada 23 Mei.
Turut berada di pusat pencalonan, kira-kira 28 pemimpin daripada pelbagai parti politik yang menjadi rakan sekutu Perikatan Demokratik Nasional (NDA) diketuai Parti Bharatiya Janata (BJP).
Selain pemimpin kanan BJP, Presiden Parti Amit Shah, Menteri Hal Ehwal Luar Sushma Swaraj dan Menteri Dalam Negeri (Keselamatan Dalam Negeri), Rajnath Singh turut mengiringi Modi.
Pada pilihan raya umum 2014, selain bertanding di Vadodara di kawasan parlimen Gujarat, beliau turut bertanding di Varanasi memandangkan negeri itu merupakan kawasan paling penting di Uttar Pradesh, mempunyai 80 kerusi parlimen.
Beliau memenangi kedua-dua kerusi namun memilih mewakili kawasan parlimen Varanasi. – Bernama, 26 April, 2019.
Komen