PASUKAN peguam bela Najib Razak hari ini memohon tujuh pertuduhan terhadapnya membabitkan SRC International dibatalkan, atas alasan pertuduhan tersebut kabur, cacat dan tidak mengkhusus.
Ini akan menyebabkan bekas perdana menteri itu tidak dapat menyediakan pembelaan dengan sewajarnya, kata mereka.
Peguam bela Yusof Zainal Abiden memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tindakan pendakwa yang hanya menyatakan nama teknikal “jenayah pecah amanah” adalah tidak mencukupi.
“Ini tidak membantu atau membolehkan tertuduh membela diri secara berkesan kerana ia tiada kekhususan, jadi tertuduh tidak mendapat notis yang cukup mengenai kes yang dihadapinya,” katanya.
Yusof berkata Najib juga didakwa sebagai ejen, perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC International.
“Dalam erti kata lain, pemohon didakwa dalam tiga kapasiti berbeza yang kononnya menimbulkan tuduhan bahawa beliau seorang ejen,” beliau memberitahu mahkamah yang dipengerusikan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib yang memakai sut kelabu gelap, kelihatan tenang dalam kandang tertuduh.
Hujah-hujah berkenaan merupakan sebahagian daripada notis usul bekad perdana menteri itu dalma permohonannya untuk menangguh, meminda atau membatal tujuh pertuduhan terhadapnya.
Najib dihadapkan dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) serta tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) di abwah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – 26 April, 2019.
Komen