SAMIRAH Muzaffar yang dituduh membunuh bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, memfailkan permohonan ikat jamin di Mahkamah Rayuan hari ini.
Tertuduh berusia 44 tahun itu membuat permohonan itu menerusi peguamnya Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan kepada hakim bahawa Samirah sanggup diletakkan di bawah syarat ketat jaminan kerana dia hanya mahu berada bersama anaknya.
“Anak guam saya sanggup tinggal di rumahnya sepanjang masa dan melaporkan diri ke balai polis setiap hari,” kata Shafee di mahkamah.
“Dia ada empat anak, dua daripadanya di bawah usia empat tahun.”
Bagaimanapun, panel hakim Mahkamah Rayuan iaitu Kamardin Hashim, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Diah tidak membuat keputusan dan menangguhkan perbicaraan pada 10 Mei.
Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan ikat jaminnya atas alasan Samirah gagal memberikan alasan kenapa dia patut dibebaskan dengan ikat jamin bagi pertuduhan membunuh.
Samirah ditahan sejak Mac selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh Nazrin. Turut didakwa ialah dua anak lelakinya yang masih remaja dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Dalam prosiding hari ini, Shafee berkata Samirah sangat bekerjasama dengan polis selepas remannya tamat.
“Anak guam saya hanya dibawa ke mahkamah 10 bulan selepas kematian suaminya. Sebelum dituduh, beliau ditahan reman dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin polis, tetapi beliau tidak pernah cuba melarikan diri sepanjang tempoh itu,” kata Shafee.
Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman tidak konsisten dengan keputusannya kerana beliau membenarkan dua anak lelaki Samirah dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 setiap seorang.
“Samirah tidak dibenarkan ikat jamin kerana mahkamah rendah percaya akan ada cubaan mengganggu saksi tetapi mahkamah yang sama memberikan dua anak lelakinya yang dituduh dengan pertuduhan sama, diikat jamin,” kata Shafee.
Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin berhujah hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak melakukan kesalahan apabila menawarkan ikat jamin kepada dua remaja itu.
“Hakim menggunakan budi bicaranya apabila membebaskan dua remaja lelaki itu dan tidak ada kesilapan apabila beliau memutuskan tidak membenarkan ikat jamin kepada Samirah,” kata Jamil.
Perbicaraan kes bunuh itu ditetapkan pada 3 September.
Nazrin pada awalnya dikatakan meninggal dunia akibat letupan telefon bimbit tetapi unit forensik Jabatan Bomba menemui kesan petrol di dalam bilik di mana mayatnya ditemui.
Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh dan bedah siasat kedua menunjukkan kesan pukulan di kepalanya.
Samirah dan dua anak lelakinya mengaku tidak bersama sementara polis masih mencari seorang lagi suspek, iaitu seorang wanita Indonesia yang dikatakan pembantu rumah keluarga itu.
Wanita warga Indonesia itu dituduh tanpa kehadiran, bersama ketiga-tiga tertuduh berkenaan. – 26 April, 2019.
Komen