Aktivis hak asasi gender disiasat mengikut Akta Hasutan


Alfian Z.M. Tahir

AKTIVIS Numan Afifi disoal siasat di ibu pejabat polis Bukit Aman pagi tadi berhubung satu kenyataan yang dibacanya di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Mac.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Numan berkata beliau disiasat mengikut Akta Hasutan.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan soalan yang ditanya berkenaan satu lagi ucapan dibuat oleh seorang lagi speaker.

“Saya dipanggil hari ini berkenaan ucapan saya ketika proses Semakan Berkala Universal (UPR) isu berkaitan orientasi seksual, identiti gender dan ekspresi, dan ciri seksual.

“Tetapi polis bertanya soalan tentang ucapan orang lain yang saya secara peribadi tidak tahu. Saya tidak tahu pun namanya, tetapi polis menyiasat saya di bawah Akta Hasutan.

“Ini mengarut. Mereka hanya tanya kenapa saya ada di situ, di belakang, adakah saya beri ucapan dan saya kata ya, tetapi mereka berminat dengan lelaki warga asing itu,” kata Numan.

Numan berkata ucapannya itu ialah kenyataan kolektif daripada persatuan sivil di Malaysia dan beliau mewakili Persatuan Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (ILGA).

Numan ditemani peguam Honey Tan.

Kumpulan hak asasi sivil tempatan baru-baru ini mengutuk siasatan polis terhadap Numan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani oleh empat kumpulan hak asasi manusia di mana mereka mendakwa tidak ada apa-apa dalam ucapan Numan yang boleh membawa kepada siasatan pihak berkuasa.

Kenyataan itu berkata siasatan berkenaan adalah pelanggaran kebebasan bersuara yang dijamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan tindakan menakut-nakutkan oleh pihak berkuasa terhadap kumpulan terpinggir. – 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen