BRAZIL akan menggunakan teknologi pengecaman muka untuk memperkuatkan kawalan keselamatan semasa berlangsungnya kejohanan Copa America 2019, Jun dan Julai ini, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai kejohanan pada Khamis.
Antara venue kejohanan, Fonte Nova Arena di Salvador sudah dilengkapi dengan sistem itu dan telah menjalani tempoh percubaan yang berjaya semasa sambutan karnival tahunan bandar itu Mac lalu.
“Sistem itu membolehkan kami menghalang orang yang tidak sepatutnya daripada masuk ke dalam stadium,” kata penyelaras keselamatan Copa America, Hilario Medeiros.
Katanya, pasukan keselamatan akan bekerjasama dengan Interpol dan agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa untuk mewujudkan pangkalan data orang yang akan “diperhatikan”.
Sistem itu membolehkan rangkaian kamera yang dipasang sekitar stadium menghantar imej masa nyata ke pusat kawalan bersepadu, dan maklumat akan disambungkan dan disemak dengan pangkalan data polis.
Amaran akan dihantar ke unit rondaan jika perlu, kata Medeiros.
Copa America 2019 akan bermula di lima bandar raya Brazil dari 14 Jun hingga 7 Julai. – Bernama, 26 April, 2019.
Komen