SEORANG bekas pegawai polis Florida menerima hukuman penjara 25 tahun pada semalam atas kesalahan menembak mati seorang lelaki kulit hitam.
Mangsa ditembak di tepi lebuh raya ketika menunggu trak tunda mengangkut keretanya yang rosak.
Nouman Raja, 41, disabit bersalah membunuh Corey Jones, 31, seorang pemuzik pada Oktober 2015.
Raja, bekas anggota pasukan Palm Beach Gardens adalah anggota polis pertama dalam tiga dekad di Florida disabitkan bersalah menembak mati lelaki kulit hitam ketika bertugas.
“Ini kes yang menyedihkan,” Hakim Joseph Marx dipetik sebagai berkata oleh Palm Beach Post.
“Ia beri kesan yang mendalam kepada semua orang yang terlibat dalam perbicaraan ini.”
Jones dalam perjalanan pulang dari sebuah persembahan apabila keretanya rosak di lebuh raya pada lewat malam kejadian.
Ketika sedang menunggu trak tunda dan bercakap dengan pemandu trak tersebut, Raja yang menaiki van putih tiba. Dia ketika itu berpakaian biasa.
Semasa perbicaraan, pendakwa raya berkata Raja bertindak ganas dan tidak memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis.
Jones yang fikir dia dirompak, segera mengeluarkan sepucuk pistol dan ditembak beberapa kali oleh Raja.
Hakim menjatuhkan Raja hukuman penjara 25 tahun setiap satu bagi kesalahan membunuh dan cubaan membunuh. Hukuman diperintahkan dijalankan serentak.
Kesalahan cubaan membunuh disabitkan bagi tembakan yang dilepaskan oleh Raja terhadap Jones tetapi tersasar. – AFP, 26 April, 2019.
Komen