Syahadah kemanusiaan, syahadah teroris


Mohd Syazreen Abdullah

CAHAYA Muhammad tidak wujud dalam jiwa teroris. Kerana esensi-Nya bersinar melalui perkataan dan tindakan baginda dalam menunjukkan jalan kedamaian kepada manusia – menyebar kebajikan dan kebaikan di alam semester. Justeru, baginda adalah teladan sebaik-baik sifat kemanusiaan. 

Sikap itu jelas kontradik dengan kelompok teroris. Meskipun mereka melaungkan syiar syahadah, mereka memilih kekerasan yang bukan jalan pilihan nabi. Bahkan dilarang nabi. Nabi mahu umatnya berlumba-lumba kepada kebaikan – kemanusiaan.

Lalu, nikmat terbesar bukanlah Islam dan iman yang konon-kononnya dimiliki sebahagian kaum eksklusif sebaliknya nikmat mengecapi keamanan dan kemanusiaan. Ironinya, dunia hari ini hilang sifat kebajikan. Akhirnya umat tidak merdeka dan aman dalam mempraktik kepercayaan agama masing-masing. 

Rumah ibadat baik masjid, kuil, gereja tidak lagi menjadi tempat yang aman dan selamat. Keganasan terhadap kemanusiaan tiada hentinya tanpa mengira agama dan bangsa. 

Selepas tragedi hitam kepada sebilangan umat Islam di Christchurch, New Zealand, dunia sekali lagi digemparkan dengan aksi keganasan – terorisme. Umat dikejutkan perilaku barbarik seperti pengeboman di beberapa gereja dan hotel di Colombo, Sri Lanka yang meragut hampir 300 nyawa penganut Kristian. 

Begitulah korban kemanusian yang tidak pernah ada noktah pengakhiran. Saat ini tidak ada nikmat lebih berharga melainkan sebuah kedamaian – dambaan setiap insan di muka bumi sebagai solidariti bahawa umat dahagakan teologi cinta – kemanusiaan.

Rasul kemanusiaan

Walhal, nabi adalah anugerah Tuhan kepada umat. Baginda sebaik-baik manusia. Asma’ Tuhan dimanifestasi ke alam ini melalui perantaraan kekasih-Nya Muhammad. Justeru, sunnah baginda memantulkan rasa kemanusiaan dalam diri umatnya – berbuat baik sesama manusia – ihsan. 

Justeru, agama ajaran baginda tidak menjurus kepada praktik keganasan seperti sikap pengebom berani mati hari ini. Jelas, nur Muhammad tidak mengalir dalam jiwa teroris.

Pertumpahan darah berlaku, keganasan bersemarak dek kegagalan menghayati inti pati teologi hakikat syahadah. Sedangkan baginda mengajar umatnya menyemai benih kemanusiaan dahulu sebelum beragama. Itulah hikmah baginda dilantik kekasih Tuhan sebagai teladan dalam menyebarkan manifestasi-Nya kepada umat. Nabi menyeru umat mencintai kemanusiaan (sifat-sifat rahmat Tuhan) dahulu sebelum benar-benar kenal Tuhan. Kerana Tuhan tidak dapat dikenali tanpa mengenali asma’-Nya.

Habaib Ali al-Jufri melalui karyanya “Humanity before Religiosity” menyebut Rasulullah menjaga silaturrahim, menjaga nyawa, mengamankan jalanan, kemudian baru menyebutkan tauhid. Walaupun inti risalah adalah tauhid tetapi nabi mendahulukan kemanusiaan.

Bagi Rasulullah, andai rasa kemanusiaan kukuh, maka rasa keberagamaannya kepada Tuhan menjadi utuh. Namun jika sebaliknya, cacatlah diri seseorang. Justeru, lingkaran agamanya menjadi songsang lalu jauh dari inti pati ketauhidan – berlawanan dengan tujuan asalnya – rasa kemanusiaan adalah wadah dari agama. Bukan keganasan sebagai wadah dari agama.

Beliau mendatangkan contoh mudah bagaimana hadis “sebarkan salam, memberi makan, menyambung ikatan tali persaudaraan, bangunlah solat malam maka kamu akan masuki syurga”. Nabi menyebutkan solat pada akhir hadis setelah menyebutkan pelbagai hal kemanusiaan. Jelas, baginda mendahulukan kemanusiaan, kemudian baru solat. Contoh tersirat dalam hadis itu selaras dengan maksud tersirat pada kalimah ketauhidan – syahadah kedua (Muhammad).

Teroris gagal faham syahadah

Malangnya, para teroris tidak kenal sifat Tuhan ke atas nabi. Mereka sembah Allah seperti kaum jahiliah menyembah Allah. Kedua-duanya gagal kenal penzahiran Tuhan yang diutuskan kepada nabi. Seandainya mereka kenal baginda, dunia pasti aman dan damai. 

Namun, mereka kekal mewarisi sikap jahiliah dan bebal. Ironinya, syahadah yang mereka lafaz selama ini berakhir dengan korban kemanusiaan – pertumpahan darah. Sedangkan nabi sebarkan syahadah yang damai, sebaliknya teroris sebarkan syahadah yang menumpahkan darah.

Kenapa kalimah syahadah kontradik di sisi para teroris dengan ajaran baginda? Mengapa Nabi Muhammad selitkan dalam kalimah agung syahadah bersebelahan dengan Tuhan seluruh alam?

Apakah hikmah baginda diangkat begitu agung sebagai kekasih Allah sehingga diratib setiap ibadah solat? Mengapa baginda menjadi pilihan Rasul (khatam an-nabiyyin) terakhir kepada umat semester alam ini?

Semua persoalan itu, jawapannya ada pada lafaz syahadah kedua (Muhammad). Inti pati kalimah syahadah adalah kemanusiaan. Bukan simbol sakral yang akhirnya menumpahkan darah. Baginda dicipta untuk mencintai kebaikan dan kebajikan. Bukan permusuhan. Kerana Muhammad adalah anugerah ilahi sebagai manusia sempurna pada tataran kosmik – ciptaan pertama Allah. 

Makhluk pertama Allah ciptakan adalah cahaya Muhammad (al-nur al-Muhammadiy) dan cahaya abadi itu bermanifestasi pada para nabi secara berturut-turut kepada Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa – cahaya baginda wujud sebelum terciptanya para nabi lain.

Dalam hadis riwayat Tirmizi menyebut: “Saya adalah nabi ketika Adam masih ada di antara air dan bumi. Ketika Allah menciptakan Adam, Dia menempatkan cahaya Muhammad pada dahi Adam. Semua makhluk sujud tanda hormat dan salam ke atas cahaya itu kecuali iblis. Namun Adam mengacuhkannya kerana tidak dapat melihat sinaran cahaya itu pada dahinya. Lalu dia berdoa bahawa gerakkanlah cahaya itu dari dahinya agar dia dapat melihatnya. Kemudian Allah menerima doanya dan kilatan cahaya ilahiah bersinar dari hujung jari telunjuk Adam seraya berkata dan mengangkatnya ‘Aku bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Mu dan Rasul-Mu.

Itulah yang disebutkan di dalam kitab Syajaratul Kawn bahawa intelek pertama adalah kesedaran ilahi Tuhan manifestasikan Dirinya kepada Dirinya sendiri dalam kesatuan mutlak dan cahaya itu wujud pada realiti Muhammad — Wujud paling sempurna. 

Tuhan mahu kita menyebarkan pesan-Nya atas nama-Nya ar-rahman dan ar-rahim. Sikap rasa kemanusiaan. Anugerah kemanusiaan dan rahmat itu dicurahkan pada umat manusia melalui perantaraan jelmaan cahaya Muhammad yang pertama diciptakan dalam bentuk manusia – Rasulullah SAW.

Tuhan berfirman dalam surah al-anbiya ayat 107: “Tidaklah kami menciptakanmu (Muhammad) selain sebagai rahmat-Nya meliputi segala sesuatu.” 

Justeru, teroris gagal menampakkan Tuhan selagi gagal memahami sifat-sifat-Nya pada bentuk makhluk di alam realiti – Rasulullah SAW. Tuhan melingkupi seluruh dunia dengan rahmat — Muhammad dan disempurnakan ajaran-Nya.

Selama ini, kita sangka akidah kita ampuh dek menjaga perintah solat, puasa, zakat, haji dan melaungkan slogan jihad. Namun, tiada kemanusiaan dek mengimani tauhid eksklusif. Sebenarnya kita sudah tenggelam dengan kejumudan kita. Sebaliknya, akidah ampuh andainya kemanusiaan kita kukuh. 

Syahadah kemanusiaan

Justeru, lafaz syahadah adalah pesan kedamaian dan kemanusiaan. Syahadah melawan teroris harus didahulukan pada lafaz Muhammad berbanding lafaz Tuhan. Kerana umat sudah buta beragama dek bermati-matian mahu membela lafaz pertama – Tuhan. Mereka begitu literal memahami syadahah. 

Maka apabila kita mengucapkan syahadah kita mendahulukan tauhid Muhammad sesekali tidak menafikan kalimah Tauhid Ilahi. Kerana Tuhan tidak terikat pada susunan lafaz. Sebaliknya Tuhan Wujud pada pensaksian pertama dan kedua. Kefahaman dangkal umat beragama hari ini gagal meletakkan fokus pensaksian Muhammad lalu gagal mengalihkan tumpuan umat dalam beragama – mengedepankan kemanusiaan.

Ramai anggap syahadah simbolik memperkukuh kepercayaan kepada Tuhan. Sebenarnya tidak. Syahadah adalah lafaz kemanusiaan yang diamanahkan Tuhan kepada Muhammad untuk mempernampakkan citra-Nya di dalam realiti – alam.

Para teroris gopoh mahu menjaja nama Tuhan. Mereka lupa Tuhan menyebarkan sifat-Nya seperti dizahirkan nabi – kemanusiaan. Maka langkah semberono syahadah sempit dek tertegak atas nama tauhid songsang – syahadah. 

Mereka sanjung kalimat tauhid pertama sebagai simbol eksklusif keagamaan. Mereka lupa kalimat tauhid kedua (Muhammad) kehendak Tuhan agar hamba-Nya menyebar kasih-Nya kepada kemanusiaan. Ini kontradik dengan aksi teror yang tanpa segan silu membunuh dan mengorban kemanusiaan atas nama tauhid. 

Kerana taasub lafaz pertama, mereka jadi ektremis. Kebutaan mereka terhadap pensaksian kedua (Muhammad) menghilangkan sifat kemanusiaan. Lalu mereka mempraktik akidah di dalam pensaksian pertama semata-mata Tuhan disembah dengan mengimani konsep rububiyah, uluhiyyah dan asma wal sifat sebagai teori ketaasuban kita. 

Selanjutnya kita gagal menampakkan konsep itu sebagai wadah kemanusiaan yang harus kita dipersembah ke dalam realiti. Itulah pesan Tuhan yang tersembunyi – harta tersembunyi (kanziyyah) dan gagal dicitrakan kerana ego dan kerasnya hati.

Pendam Tuhan, tumpu Rasulullah

Maka lafaz kedua adalah inti pati penting umat hari ini yang perlu diperjuangkan. Kerana inti patinya merefleksi pensaksian pertama, lafaz yang membangunkan kerohanian dan menggerakkan kemanusiaan – ketamadunan manusia. 

Justeru, dengan memperbaiki hakikat syahadah, ia sekaligus menghayati susuk kemanusiaan insan pilihan Tuhan – Nabi Muhammad SAW.

Jauhilah dari menjadi bangsat teroris yang taasub pada lafaz syahadah pertama tetapi buta terhadap kalimat kedua, takut-takut selama ini – tanpa sedari – yang kita ratibkan adalah lafaz syahadah untuk cenderung menjadi teroris!

Maka, pendamkanlah lafaz pertama ‘Tiada Tuhan selain Allah’ pada kalimat syahadah sebaliknya fokus kepada lafaz ‘Muhammad pesuruh–Mu’ kerana Tuhan wujud di dalam diri kita yang bebas termaktub pada segenap ruang sesuatu. Bukan semata-mata terikat pada lafaz syahadah pertama. – 26 April, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen