PEMENANG Oscar Rami Malek akan membawakan watak antagonis dalam filem terbaru James Bond, filem terakhir yang akan menyaksikan Daniel Craig membawakan watak 007 perisik paling terkenal dunia itu.
Filem ke-25 francais ternama dunia itu juga menyaksikan Ralph Finnes kembali memainkan watak ketua Bond dan pelakon wanita Perancis Lea Seydoux.
“Saya berjanji kepada semua untuk pastikan Bond tidak akan berdepan musuh mudah kali ini,” kata Malek dalam siaran langsung pengumuman itu yang mendedahkan barisan pelakon filem Bond yang dibuat di vila pencipta watak Bond, Ian Fleming di Goldeneye, Jamaica.
Penerbitan filem terbaru itu beberapa kali tertangguh kerana masalah skrip. Ia kini dijangka mula ditayangkan di Amerika Syarikat, Britain dan Perancis pada 8 April 2020, kata pengedar Universal Pictures International.
Penerbit filem Bond, Barbara Broccoli juga masih berdiam diri tentang tajuk filem terbaru itu tetapi mendedahkan satu plot filem itu.
Bond dikatakan sudah bersara di Goldeneye ketika konflik mula muncul.
“Bond tidak aktif ketika kita (filem) bermula,” kata Broccoli. “Beliau sebenarnya sedang menikmati persaraan di Jamaica.”
Malek yang menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Oscar tahun ini untuk watak Freddie Mercury dalam filem Bohemian Rhapsody berkata, peluang memainkan watak antagonis di samping Craig sebagai 007 adalah penghormatan kepadanya.
Malek berkata, sejak beberapa tahun lepas, kareer lakonannya seperti impian jadi kenyataan, “memainkan watak Freedie Mercury, menang Oscar dan sekarang jadi penjahat filem Bond”. – AFP, 26 April, 2019.
Komen