UKRAINE semalam merayu kepada Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak menentang keputusan Presiden Vladimir Putin untuk memberikan pasport Rusia kepada warga Ukraine yang tinggal di timur negara itu yang dikawal pemisah pro Moscow.
Putin menandatangani dekri membenarkan penduduk Donetsk dan Lugansk untuk memohon kewarganegaraan Rusia menerusi proses segera yang akan menghantar pasport dalam tempoh tiga bulan.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas kemenangan Presiden Volodymyr Zelensky dalam pilihan raya yang meminta lebih banyak sekatan antarabangsa dikenakan ke atas Rusia.
Duta Ukraine ke PBB Volodymyr Yelchenko memberitahu majlis yang dekri itu “tidak sah” dan menggesa “tindakan sebenar”, walaupun Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalang sekatan ke atas dekri tersebut.
Hak kewarganegaraan Rusia kepada penduduk Ukraine sama seperti “pengilhakan mengerunkan” ke atas timur Ukraine dan “pengukuhan sepenuhnya kawalan Rusia ke atas kawasan jajahan”, katanya.
Kuasa Barat bagaimanapun merasakan kejayaan Zelensky sebagai peluang untuk mengadakan rundingan semula dengan Moscow untuk menamatkan konflik berdarah lima tahun yang sudah membunuh 13,000 orang itu.
“Kami rasakan ini peluangnya untuk menyambung semula usaha pelaksanaan Perjanjian Minsk dan membawa keamanan kepada penduduk yang menderita kerana krisis ini,” kata Duta Jerman Christoph Heusgen kepada wartawan selepas mesyuarat majlis.
Perjanjian Minsk yang dicapai pada 2015 dilakukan dengan usaha Jerman dan Perancis yang membawa kepada penyelesaian politik tetapi tertangguh kerana kedua-dua pihak bertelagah gagal memenuhi komitmen masing-masing.
Amerika Syarikat pula berkata “tidak boleh diterima” untuk Rusia memutuskan memberikan kewarganegaraan kepada penduduk Ukraine selepas pilihan raya dan menuduh Rusia mahu memburukkan konflik.
Duta Perancis Francois Delattre juga mengecam Rusia, berkata “penyelesaian krisis bukanlah memberikan pasport Rusia kepada warga Ukraine” tetapi menghormatii komitmen dibuat untuk menamatkan konflik. – AFP, 26 April, 2019.
Komen