CIA kini di Instagram


Posting pertama CIA di Instagram memberi gambaran kehidupan sulit pegawainya yang terlibat dalam pelbagai operasi seluruh dunia. – Instagram CIA, 26 April, 2019.

AGENSI Perisikan Pusat (CIA) membuka akaun rasmi Instagramnya semalam dengan gambar meja dipenuhi barangan dengan kapsyen: “I spy with my little eye.”

Gambar itu menunjukkan tarikan dan cabaran: rambut palsu menggambarkan penyamaran, peta China dan Negara Teluk, mata wang asing, peralatan untuk menghapuskan dokumen sulit, nota Bahasa Arab dan pelbagai barang lain- kemungkinan besar cenderhati daripada operasi melibatkan pegawainya.

Di dinding dalam gambar tersebut pula tertulis: “I want to travel the world.”

Kewujudan akaunnya di Instagram adalah usaha agensi perisikan utama AS itu untuk menarik lebih ramai bakat muda untuk menjadi pegawai, ejen dan penganalisisnya selepas bertahun-tahun menggunakan Twitter dan Facebook.

Agensi itu secara terbuka sedang merekruit dari universiti dan industri, dan Instagram memberikan capaian luas kepada demografik lebih muda, kebanyakan penggunanya berusia bawah 30 tahun.

“Kami berhasrat mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pengguna Instagram tentang misi global CIA yang membolehkan kami pergi ke tempat orang lain tidak boleh dan melakukan apa yang tidak boleh dilakukan orang lain,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

“Menerusi akaun itu, kami memberikan gambaran tentang kehidupan dalam agensi, tetapi kami tak boleh berjanji boleh berswafoto dari lokasi rahsia.” – AFP, 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen