Putrajaya mahu hapuskan diskriminasi antara penyewa, pemilik rumah


Ragananthini Vethasalam

Putrajaya sedang dalam proses menggubal dasar untuk menghapuskan diskriminasi dalam sektor perumahan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2019.

PUTRAJAYA bercadang memasukkan peruntukan anti diskriminasi antara penyewa dan pemilik rumah dalam Dasar Perumahan Saksama, kata ketua pengarah Jabatan Perumahan Negara.

Dasar itu yang masih dalam proses awal perbincangan sedang digubal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdasarkan undang-undang yang wujud di Amerika Syarikat dikenali sebagai Akta Perumahan Saksama.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Jayaseelan K Navaratnam memberitahu The Malaysian Insight yang sewa berasaskan kaum akan termasuk dalam kategori diskriminasi.

“Untuk unsur kaum kita perlu ada Dasar Perumahan Saksama. Kita tak boleh letakkannya di bawa akta individu (tunggal),” kata Jayaselan yang menambah perkauman tidak hanya berlaku dalam industri perumahan.

“Kita tak boleh buat dan kata akta ini akan menyelesaikan (masalah) berasaskan kaum. Kita perlukan dasar atau prinsip panduan untuk selesaikan masalah.”

Mengakui terdapat isu pemilik rumah yang hanya mahu menyewakan hartanah mereka kepada penyewa kaum tertentu, Jayaselan berkata isu itu perlu dilihat dalam gambaran lebih besar dan tidak terhad kepada diskriminasi kaum.

“Penyewaan berasaskan kaum jatuh di bawah kategori diskriminasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi, diskriminasi bukan hanya terhad kepada kaum. Ia juga boleh wujud dalam bentuk diskriminasi agama dan status ekonomi.

“Kita tak hanya melihatnya sebagai isu kaum sahaja. Kami sedang lihat gambaran lebih besar. Kerana itu, (wujud) Dasar Perumahan Saksama.”

Isu penyewaan berasaskan kaum masih wujud selepas enam dekad negara Merdeka, dan Putrajaya mahu bertindak mengatasi masalah ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2019.

Isu pemilik rumah hanya cenderung menyewakan rumah mereka kepada kumpulan etnik tertentu jadi tumpuan banyak pihak.

Kajian dibuat syarikat penyelidikan YouGov Omnibus, mendapati 20% responden Cina yang ditemui mendakwa mereka berdepan diskriminasi ketika cuba menyewa berbanding hanya 18% responden Melayu, dan jumlah itu naik mendadak kepada 46% apabila melibatkan responden India.

Jayaselan berkata, idea perumahan saksama itu akan menjadi realiti selepas mengambil kira persekitaran pasaran hartanah dan perumahan di negara ini.

Tambahnya, Putrajaya perlu berhati-hati dalam membangunkan dasar itu bagi memastikan semua pihak dilindungi.

Dasar Perumahan Saksama akan meliputi pasaran sewa dan pemilikan, ia juga akan melindungi penyewa dan tuan rumah.

“Matlamatnya adalah pasaran perumahan atau hartanah yang bersepadu untuk menyelaras semua undang-undang sedia ada dan undang-undang masa depan berkaitan dengan hartanah,” katanya.

“Ini akan memberikan gambaran besar dan standard amalan di semua negeri berkaitan tanah, pembangunan dan kelulusan.

“Dasar itu juga akan memudahkan pemaju, pembeli dan pelabur di Malaysia.” – 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen