DR Mujahid Yusof Rawa masih berpegang kepada pendirian bahawa pengajaran Dr Zakir Naik merendahkan agama lain dan tidak sesuai di Malaysia.
Menteri Hal Ehwal Agama Islam itu bagaimanapun mempertahankan pertemuannya dengan pendakwah kontroversi itu bukan lalu dan mengatakan sebagai menteri sesiapa pun boleh datang dan bertemu dengannya.
“Sebagai menteri, sesiapa pun boleh datang dan jumpa saya dan beliau datang untuk jumpa saya. Namun pendirian kami tetap sama. Malaysia tidak sama dengan negara lain. Kita ada sensitiviti,” kata Mujahid kepada The Malaysian Insight.
Pendakwah Islam dari India itu merupakan salah seorang “pemastautin tetap” paling kontroversi kerana beliau didakwa mencetuskan kebencian terhadap agama lain dengan ceramah dan mesejnya.
Ketika Zakir yang merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa India, dilucutkan kewarganegaraannya, beliau diberikan status pemastautin tetap oleh kerajaan Najib Razak sebelum ini.
Apabila Pakatan Harapan menang dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil alih, beliau berkata Malaysia tidak akan menghantar pulang Zakir “selagi beliau tidak mencetuskan sebarang masalah” di negara ini.
Namun nama Zakir sekali lagi menjadi tumpuan, dua hari selepas serangan bom Sri Lanka di tiga buah gereja dan empat buah hotel yang menyebabkan lebih 350 orang maut manakala 500 orang cedera.
Dalang di sebalik serangan di hotel itu dikenal pasti sebagai Moulvi Zahran Hashim, seorang imam, yang mempunyai sejarah perkauman dan ketuanan Islam.
Zahran turut memuat naik beberapa video di YouTube dan dalam salah satu daripada video terbabit kumpulan ekstremis itu berkata – “Apa yang umat Islam di Sri Lanka lakukan untuk Zakir Naik?, menyebabkan pakar percaya Zahran terinspirasi oleh Zakir, yang menyebabkan timbul gesaan di Malaysia untuk mengusir pendakwah itu dari negara ini.

Dua hari selepas serangan Sri Lanka, aktivis Malaysia Farouk A. Peru memulakan petisyen menggesa Dr Mahathir mengambi tindakan terhadap pendakwah bebas itu dan mengusirnya dari negara ini untuk menghalangnya sebelum terlambat.
Dalam petisyennya, Farouk mengingatkan Dr Mahathir keputusannya untuk membenarkan Zakir berada di Malaysia apabila beliau dikehendaki oleh negaranya India kerana didakwa mencetuskan gangguan terhadap keharmonian dan aktiviti yang salah di sisi undang-undang lain.
Dalam satu wawancara dua hari lalu, Mujahid berkata pendiriannya terhadap Zakir “tetap sama”. September lalu, Mujahid menyifatkan cara Zakir merendahkan agama lain dan pendekatan itu tidak sesuai untuk Malaysia.
Namun pada pertemuan 13 Mac lalu, Mujahid menyifatkan kerja dakwah Dr Zakir sebagai memberi “inspirasi” dalam posting di Facebooknya.
Selepas beliau menerima kritikan kerana pertemuan itu, Mujahid berkata beliau menjelaskan kepada Zakir tentang pendekatan kerajaan dalam menguruskan hal ehwal Islam dan sensitiviti di negara ini.
Mujahid menegaskan tiada “u-turn” dalam pendiriannya terhadap Dr Zakir.
Mujahid berkata beliau terkejut dengan kritikan yang beliau terima kerana pertemuan dengan Zakir dua bulan lalu.
“Apabila saya katakan sesuatu tentang Zakir, orang cakap bagus Mujahid. Tetapi bila Zakir datang bertemu dengan saya ia tiba-tiba tidak baik.
“Apa masalahnya? Orang datang dan jumpa saya orang cakap itu tidak baik. Mereka kata beliau tidak sesuai kerana Malaysia macam itu atau ini. Saya tidak faham,” tambah menteri itu. – 26 April, 2019
Komen