NAJIB Razak dikelirukan oleh pegawai bank yang bertanggungjawab menguruskan akaun berkaitan kerajaan yang bekerjasama dengan orang seperti Low Taek Jho untuk mengambil wang dari dana SRC International, kata peguam kepada bekas perdana menteri itu.
Muhammad Shafee Abdullah berkata, pemeriksaan balas mereka terhadap saksi menyokong pembelaan utama mereka bahawa akaun Najib dimanipulasikan oleh orang yang tidak diberi kebenaran.
“Orang luar, seperti Jho Low dan lain-lain dan beberapa orang dalam bank. Ini sebabnya saya guna perkataan ‘pegawai bank penyangak’,” kata Shafee kepada pemberita selepas pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Peguam bela, yang membuat pemeriksaan balas terhadap pengurus AmBank R. Uma Devi, turut menyatakan di mahkamah bahawa beberapa tandatangan yang digunakan untuk menandatangani cek bernilai jutaan ringgit tidak sama dengan yang asal.
“Datuk Seri Najib tidak tahu tentang ini (transaksi tanpa kebenaran). Jika tidak, bagaimanakah kamu menjelaskan tandatangan yang telah dipalsukan? Malah pihak bank bersetuju,” kata Shafee, merujuk kepada Uma.
Shafee juga mendakwa bekas pengarah dan ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil terlibat dalam skandal yang dikatakan mengelirukan Najib.
Nik Faisal dilaporkan masih belum ditemui dan dipercayai berada di Indonesia. – 25 April, 2019
Komen