Pakatan utuh dan berfungsi, bukan kerajaan sepenggal, kata Saifuddin 


Alfian Z.M. Tahir

Saifuddin Nasution berkata tiada pakatan politik di negara ini yang bergerak seperti PH.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 April, 2019

PAKATAN Harapan di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad mempunyai struktur yang kukuh dan sangat jelas, serta tidak akan menjadi kerajaan sepenggal, bertentangan dengan dakwaan Barisan Nasional, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita sangat kukuh sebagai sebuah kerajaan, bukan sahaja kukuh malah memiliki struktur kepimpinan yang jelas. Tiada pakatan politik dalam negara ini yang bergerak seperti PH,” katanya dalam satu wawancara di kementeriannya hari ini.

“Bermula hari pertama, kita tidak pernah terlepas mesyuarat bulanan sebagai kabinet. Kami kukuh, bergerak dan berfungsi.”

Saifuddin berkata demikian bagi mengulas kritikan bahawa PH gagal menunaikan janji pilihan raya dan cenderung untuk berundur dari dasar yang diumumkan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa pakatan pemerintah itu kehilangan sokongan Melayu yang bernilai, dan mengatakan Pakatan Harapan telah disalah tafsir sebagai terlalu lemah untuk mempertahankan hak Melayu dan Islam.

“Kita mungkin kelihatan lemah dalam mempertahankan hak Melayu tetapi kamilah yang cuba menyelamatkan Tabung Haji dan Felda daripada terus jatuh,” katanya merujuk kepada dua agensi kerajaan yang berdepan dengan masalah kewangan.

“Mereka yang merosakkan Tabung Haji dan Felda kini diangkat sebagai wira dan pelindung Islam,” katanya merujuk kepada pemimpin Barisan Nasional.

Audit khas Tabung Haji bagi tahun kewangan 2017, oleh PricewaterhouseCoopers, menunjukkan ia membayar dividen menggunakan wang daripada dana tabungan pendeposit dan bukan keuntungan yang diisytiharkan.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen pada Disember lalu, juga menunjukkan TH membuat dua perjanjian yang membuatkan dividen itu kelihatan datang daripada keuntungan.

Di samping keuntungan yang lebih besar, laporan tersebut menyerlahkan nilai aset yang telah ditetapkan, profil pendeposit yang tidak seimbang dan urus niaga yang boleh dipersoalkan.

Laporan itu mengatakan bahawa Tabung Haji telah menghadapi kerugian sebanyak RM10.2 bilion dalam ekuiti dan liabilitinya melepasi asetnya sebanyak RM9 bilion.

Kerajaan telah memindahkan beberapa aset Tabung Haji kepada SPV (syarikat tujuan khas) untuk membersihkan kunci kira-kira.

Saifuddin berkata, ketiak Pakatan terus mempertahankan hak Melayu, dan semua rakyat, meraih sokongan Melayu sahaja tidak cukup untuk pakata itu kekal berkuasa.

“Undi Melayu sahaja tidak akan beri kamu kemenangan pada pilihan raya,” katanya.

“Saya dalam pembangkang sejak 1999 dan sehingga Mei 2018, saya masih pembangkang. Undian Melayu tertinggi kepada pembangkang yang ernah direkodkan adalah pada pilihan raya umum 1999 dan adakah kita menang? Tidak, kita tidak menang. Malah BN memperoleh dua pertiga majoriti,” katanya.

“Pada 2004 ketika PAS dan DAP berdepan konflik dalaman, kami dikalahkan. BN menang besar di bawah Abdullah Ahmad Badawi, bukan bawah Dr Mahathir. Undi Melayu sentiasa dengan Umno. Kedua, ia pergi kepada PAS dan kami di PKR yang ketiga.”

Saifuddin berkata, walaupun Pakatan telah berjaya dalam beberapa janji pilihan raya, yang lain hanya memerlukan lebih banyak masa untuk dikaji.

“Janji kami untuk stablkan harga petrol telah dipenuhi. Daripada RM2.20 kini kami stabilkan harga RON95 kepada RM2.08.

“Bagi PTPTN, kami keluarkan semua nama yang disenaraihitamkan. Kedua, kami sudah membayar RM2 bilion faedah hutang bagi kumpulan peneroka.

“Berkenaan tol, kami masih cuba mencari jalan dan mengkaji cara terbaik untuk menunaikan janji kami,” jelasnya. – 25 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen