SERAMAI 144 pegawai jawatankuasa pusat mengundi (KPPS) dilaporkan meninggal dunia ketika menjalankan tugas sepanjang pilihan raya umum Indonesia (Pemilu) 2019, lapor CNN.
Angka kematian itu meningkat daripada 119 orang yang dilaporkan sebelum ini.
Pesuruhjaya Komisi Pemilihan Umum (KPU) Evi Novida Ginting Manik berkata selain jumlah kematian berkenaan, 883 orang petugas lagi dilaporkan sakit.
“Berita sedih lagi yang saya sampaikan, setakat 24 April, 144 orang petugas Pemilu 2019 meninggal dunia manakala 883 lagi sakit,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, KPU mencatatkan hanya daerah Maluku Utara yang tidak ada petugas sakit atau pun meninggal dunia. Sementara itu, daerah Sulawesi Selatan mencatatkan kawasan paling banyak petugas yang jatuh sakit iaitu 191 orang.
Jawa Barat pula mencatatkan jumlah kematian petugas paling tinggi iaitu 38 orang.
Menurut Evi, pihak KPU sedang berusaha untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga petugas terbabit.
Setakat ini, Kementerian Kewangan Indonesia bersetuju untuk membayar pampasan namun masih mengkaji jumlahnya.
“Diharap kita dapat memberikan bayaran pampasan setimpal dengan segera kepada petugas terbabit,” katanya. – 25 April, 2019
Komen