Manual bina rumah ibadat bukan Islam di Selangor ditangguh


Noel Achariam

KERAJAAN Selangor akan menangguhkan garis panduan pembinaan rumah ibadat bukan Islam berikutan “kesilapan” ahli exco kanannya.

“Saya akan meminta pelaksanaan garis panduan bagi tempat ibadat bukan Islam ditangguhkan sehingga perbincangan dengan semua pihak berkaitan diadakan,” kata Teng Chang Khim dalam satu kenyataan hari ini.

Garis panduan berkenaan akan disemak semula pada mesyuarat exco Selangor, Rabu ini.

Teng berkata terdapat kesilapan di pihak beliau kerana tidak memeriksa pindaan yang dibuat garis panduan dan piawaian perancangan negeri Selangor.

Garis panduan ini menyatakan tempat ibadat bukan Islam tidak boleh dibina 50m dari kediaman orang Islam.

Garis panduan ini juga mengesyorkan ketinggian tempat ibadat bukan Islam tidak boleh melebihi ketinggian masjid di sekitarnya dan pembinaan tempat ibadat baru di kawasan yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, memerlukan persetujuan penduduk dalam 200m radius.

Garis panduan itu berkuat kuasa sejak 1 Januari.

“Saya menyedari sebelum ini terdapat beberapa isu yang perlu dipinda dalam garis panduan dibentangkan pada September 2016. Justeru, saya membuat perbincangan dengan jabatan berkaitan bagi membuat pindaan yang perlu,” kata Teng, yang bertanggungjawab hal pelaburan negeri, SME dan pengangkutan.

“Laporan yang saya terima adalah pindaan sudah dibuat. Bagaimanapun, berdasarkan laporan ini, saya tidak menyemak manual itu semula. Saya percaya pindaan diminta bagi tempat ibadat bukan Islam tertinggal semasa semakan.

“Oleh itu, saya memohon maaf atas kesilapan tidak memeriksa manual sekali lagi sebelum ia dibentangkan kepada exco negeri.”

Beliau berkata sejak 2008, Selangor meluluskan 252 permohonan tanah dan pewartaan tempat ibadat bukan Islam.

“Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada jumlah diluluskan bagi tempoh 50 tahun terakhir sebelum 2008.” – 10 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen