2 pengebom Sri Lanka berasal dari keluarga kaya


Polis berkata kira-kira 75 orang kini disoal siasat berhubung serangan paling dahsyat terhadap orang awam dalam sejarah negara itu. – Gambar EPA, 25 April, 2019.

DUA adik beradik lelaki daripada keluarga kaya yang menjalankan perniagaan rempah muncul sebagai dalang serangan bunuh diri pada Ahad semasa Hari Easter di Sri Lanka yang meragut lebih 360 nyawa.

Inshaf dan Ilham adalah anak lelaki Mohammad Yusuf Ibrahim, seorang peniaga rempah yang kaya di Sri Lanka, tinggal di rumah tiga tingkat di pinggir bandar Colombo.

Kumpulan militan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap tujuh serangan yang diselaraskan di beberapa buah gereja dan hotel.

Menurut laporan Reuters, sumber yang dekat dengan keluarga itu berkata Inshaf Ibrahim, pemilik kilang tembaga berusia 33 tahun, meletupkan alat peledaknya di bufet sarapan yang sibuk hotel mewah Shangri-La.

Seorang lagi sumber berkata ketika polis menyerbu rumah keluarga sehari selepas serangan itu, adik lelaki Inshaf, Ilham, meletupkan bom yang membunuhnya, isteri dan tiga anak lelaki mereka.

Yusuf kemudiannya ditangkap.

Peniaga rempah dan tokoh komuniti perniagaan itu mempunyai enam anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Seorang jiran menggambarkan keluarga itu sebagai orang yang baik.

“Mereka kelihatan seperti orang baik. Ayah (Yusuf) terkenal di kawasan itu kerana membantu golongan miskin dengan makanan dan wang. Tidak terlintas anak-anaknya boleh bertindak demikian,” kata jiran Fathima Fazla.

“Kerana apa yang mereka lakukan, semua orang Islam dianggap sebagai suspek,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga berkata, Ilham, 31, menyatakan ideologi pelampau dan terlibat dalam pertemuan dengan Thowheeth Jama’ath Nasional (NTJ), sebuah kumpulan Islam tempatan.

Laporan AFP hari ini mengatakan Sri Lanka menghantar ribuan tentera tambahan ke seluruh negara semalam untuk membantu polis memburu suspek dalam letupan bunuh diri itu.

Sumith Atapattu berkata tentera meningkatkan kerahan sebanyak 1,300 hingga 6,300 orang, dengan tentera laut dan angkatan udara juga mengerahkan 2,000 lagi anggota.

“Kami bersenjata dengan kuasa untuk mencari, menyita, menangkap dan menahan di bawah peraturan darurat,” kata Atapattu kepada AFP.

Kerajaan juga mengumumkan pengharaman semua penerbangan dron dan mengatakan lesen dikeluarkan kepada semua pengendali komersial digantung serta merta.

Polis menahan 16 lagi suspek dengan dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau NTJ yang dituduh dalam insiden letupan di tiga gereja dan tiga hotel mewah.

Polis berkata kira-kira 75 orang kini disoal siasat berhubung serangan paling dahsyat terhadap orang awam dalam sejarah negara itu. – 25 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen