POLIS tidak dapat mencari sebarang rekod Prasana Diksa, 11, yang terpisah daripada ibunya M Indira Gandhi sejak 10 tahun lalu, walaupun melakukan pencarian secara meluas selepas mendapat perintah mahkamah.
Perkara itu didedahkan dalam satu pertemuan antara polis dan kumpulan persatuan sivil, Indira Gandhi Action Force (Ingat), di ibu pejabat polis di Bukit Aman, minggu lalu.
Pengerusi Ingat Arun Dorasamy yang menghadiri mesyuarat dengan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun itu berkata kedua-dua pihak bertukar maklumat, tetapi tidak begitu banyak.
“Tidak ada langsung rekod tentang kanak-kanak itu. Sekolah kerajaan, hospital kerajaan, persatuan agama, hospital swasta, sekolah swasta tidak menunjukkan rekod dia,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.
“Seolah-olah dia tidak wujud.”
“Polis pun tidak ada maklumat di mana dia berada. Kami ingin tahu tentang kesejahteraannya,” kata Arun.
Mengulas tentang pertemuan di Bukit Aman pada Jumaat lalu, Arun berkata Indira dan peguam daripada Ingat turut hadir.
“KPN juga ada, pemangku pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan beberapa pegawai polis lain turut ada. Kami membincangkan kes itu kira-kira dua jam dan membandingkan maklumat,” katanya.
Itu pertemuan pertama antara ketua polis negara dan Indira berhubung kes itu yang berlanjutan hampir sedekad.
Ingat baru-baru ini menawarkan ganjaran RM10,000 untuk maklumat yang membawa kepada penemuan Prasana.
Arun berkata pada mesyuarat itu, Fuzi bersetuju untuk mengklasifikasikan semula kes itu sebagai orang hilang dan bersetuju memasukkan Ingat sebagai sebahagian pasukan petugas khas baharu untuk menjejaki kanak-kanak itu.
“Kami beritahu mahu menyertai pasukan petugas khas itu. KPN bersetuju.
“Ahli pasukan itu akan ditentukan selepas KPN baharu dan akan mengadakan pertemuan pertama selepas itu,” kata Arun.
Katanya, dalam mesyuarat itu, mereka mengesyaki Prasana mungkin didaftarkan sebagai “daftar lewat” oleh bapanya, biasanya digunakan di Kelantan oleh ibu bapa di mana bayi dilahirkan di rumah.
Polis dan Ingat percaya itu sebabnya mereka tidak dapat mengesan Prasana.
Arun berkata beliau dimaklumkan oleh pemberi maklumat bahawa Riduan kali terakhir dilihat di Kelantan pada 2014.
Pada sidang media semalam, Fuzi berkata pasukan petugas khas itu akan diketuai oleh pemangku pengarah JSJ Huzni Mohamed.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Riduan dan Prasana masih berada di negara ini.
“Ada laporan mengatakan dia di Kelantan dan Johor. Tetapi dia masih belum ditemui lagi,” kata Fuzi.
Riduan, atau nama sebelum memeluk Islam K. Pathmanathan berkahwin dengan Indira pada April 1996 dan mempunyai tiga anak.
Pada 2009, Riduan membawa semua anaknya selepas bercerai dan menukar agama mereka kepada Islam. Mahkamah Syariah Ipoh memberikan hak jagaan kekal kepada Riduan terhadap tiga anaknya.
Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak jagaan penuh tiga anak itu kepada Indira dan tiga tahun kemudian pada Julai, 2013, mahkamah yang sama membatalkan pertukaran agama anaknya, memutuskan bahawa penukaran agama secara sebelah pihak tidak sah mengikut perlembagaan.
Dua anaknya dipulangkan kepada Indira tetapi Prasana tidak dikembalikan.
Pada Mei 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Riduan ditahan dan Prasana dikembalikan kepada Indira.
Dua tahun kemudian pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan ketua polis negara pada masa itu, Khalid Abu Bakar untuk menahan Riduan kerana menghina mahkamah, tetapi hingga kini Riduan dan Prasana masih tidak boleh dikesan. – 26 April, 2019.
Komen