Polis Peru siasat pembunuhan misteri 7 pelombong emas


Pemandangan bandar La Rinconada di Lima, Peru yang merupakan penempatan tertinggi di dunia. – Gambar AFP, 25 April, 2019.

POLIS sedang menyiasat pembunuhan misteri tujuh lelaki yang mayatnya ditemui dengan kesan tembakan di dalam sebuah lombong emas di Peru.

Pejabat pendakwa berkata dalam satu kenyataan pada Rabu, mereka sudah memulakan siasatan kes pembunuhan tujuh pelombong di lombong emas La Rinconada.

Tujuh mayat dengan luka tembakan di kepala ditemui oleh pengawal keselamatan di dalam terowong, terletak lebih 5,000 meter (16,000 kaki) di atas paras laut.

Pengurus lombong, Policarpio Calla berkata tiada seorang pun daripada kesemua mangsa bekerja di lombong itu memandangkan semua kerja digantung sempena cuti Easter.

Calla berkata tujuh lelaki itu mungkin memasuki terowong itu semasa cuti empat hari untuk mencuri emas dan bertembung dengan kumpulan lain.

La Rinconada adalah penempatan tetap tertinggi di dunia, yang terletak di puncak Gunung Ananea di Andes Peru berhampiran sempadan Bolivia.

Penduduknya bertambah kepada kira-kira 50,000 pada 2000 ketika harga emas melonjak naik yang menarik puluhan ribu prospek untuk memberanikan berdepan cuaca sejuk di sana. – AFP, 25 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen