Hamid Bador bakal ketua polis negara, kata sumber


Chan Kok Leong

Pelantikan Abdul Hamid Bador sebagai ketua polis negara akan melengkapkan pusingan kerjayanya selepas pada suatu masa pernah disisih terkait skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2019.

ABDUL Hamid Bador akan menggantikan Mohamad Fuzi Harun sebagai ketua polis negara bulan depan, kata sumber pegawai kerajaan.

Pelantikan itu akan melengkapkan pusingan kerjaya pegawai kanan polis itu selepas pada suatu masa pernah disisih terkait skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pelantikan Hamid sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah.

“Saya tak pasti watikah perkenan sudah dikeluarkan atau belum,” kata pegawai yang enggan dikenali kepada The Malaysian Insight.

Fuzi dijadual bersara pada 5 Mei ini walaupun hari terakhirnya dua hari sebelum itu pada 3 Mei, kata sumber.

“Belum tahu bila Hamid akan ambil alih,” tambahnya.

Hamid dalam pada itu memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak dapat apa-apa berita mengenai perkembangan itu.

“Siapa-siapa pun boleh dilantik. Tak apa. Saya sibuk dengan kerja sekarang,” katanya.

Hamid, yang kini memangku tugas timbalan ketua polis negara, menjadi perhatian pada 2015 apabila enggan melapor diri di Putrajaya selepas dipindahkan dari ibu pejabat polis di Bukit Aman kerana kritikannya mengenai siasatan kes 1MDB.

Beliau pada masa itu adalah timbalan pengarah Cawangan Khas.

Selepas 37 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hamid ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri untuk memantau isu keselamatan dan transnasional.

Dalam satu sidang media pada 2015, Hamid membayangkan pertukarannya dibuat kerana beliau mendesak siasatan penuh ke atas 1MDB.

Ketua polis negara pada masa itu, Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan pertukaran tersebut bermotifkan politik.

Selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum tahun lalu, Hamid diangkat sebagai pengarah Cawangan Khas menggantikan Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Hamid kemudian diberi peranan utama dalam siasatan semula 1MDB bersama beberapa pegawai kanan lain yang dibawa masuk semula dalam kerajaan.

Antaranya bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed dan Mohd Shukri Abdull, bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Abu Kassim kini mengetuai Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) sementara Shukri menerajui SPRM. Gani membantu siasatan 1MDB sementara Zeti dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan dan kemudian pengerusi Permodalan Nasional Bhd.

Ketika kemuncak siasatan 1MDB pada pertengahan 2015 mula menunjukkan hasil, semua mereka sama ada diberhentikan, bersara atau dipindahkan oleh pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib kini berdepan lebih 40 tuduhan meliputi jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terkait skandal 1MDB. – 25 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen