2 warga emas Bangladesh dihukum mati kerana jenayah perang


SEBUAH mahkamah Bangladesh pada Rabu menjatuhi hukuman mati ke atas dua lelaki warga emas berhubung jenayah yang dilakukan mereka semasa perang pembebasan negara itu pada 1971, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT), sebuah mahkamah tempatan yang dibentuk untuk mendengar kes berkaitan perang tersebut yang menyaksikan kemerdekaan negara itu dari Pakistan, mengumumkan keputusan itu.

Sohrab Fakir, 88, dan Hedayet Ullah, 80, disabitkan dengan kesalahan membunuh, melakukan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, penculikan dan membakar.

Fakir hadir pada pendengaran itu manakala Ullah masih bebas.

Ini bukan kali pertama ICT, sebuah tribunal yang kontroversi, mensabitkan warga emas.

Tribunal itu didakwa telah digunakan terhadap lawan politik dengan dalih untuk menghukum penjenayah perang.

Susulan pembentukan mahkamah itu, kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch, menyuarakan kebimbangan mereka terhadap proses perbicaraan yang didakwa tidak adil. – Bernama, 24 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen