POLIS di Wilayah Hebei di China utara telah menahan sejumlah 221 suspek, merampas 303 laras senapang dan lebih 30,000 butir peluru dalam satu operasi ke atas sindiket perdagangan senjata api secara online, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan jabatan keselamatan awam wilayah pada Rabu.
Kebanyakan senapang itu diubah suai daripada penembak paku, menurut polis.
Pada bulan Oktober 2018, polis di Shijiazhuang, ibu kota Hebei, telah menyelesaikan satu kes membabitkan dua unit senjata api dan siasatan telah membawa mereka kepada seorang peniaga senjata yang memiliki nama keluarga Xu.
Siasatan menunjukkan bahawa sindiket penjualan senjata api secara online telah beroperasi di beberapa wilayah di seluruh negara itu.
Pada Januari tahun ini, dengan penyelarasan Kementerian Keselamatan Awam, Hebei telah menghantar lebih 600 anggota polis ke pelbagai bahagian negara itu untuk siasatan lanjut.
Mereka menyiasat lebih 1,563 suspek dan menahan 221 orang dalam tempoh 20 hari.
Pemilikan senjata api oleh individu persendirian adalah salah di sisi undang-undang di China. – Bernama, 24 April, 2019.
Komen