AS nafi ada maklumat awal serangan Sri Lanka


Serangan pengganas di Sri Lanka membunuh lebih 300 orang dan mencederakan 500 yang lain. – Gambar AFP, 24 April, 2019.

DUTA Amerika Syarikat ke Sri Lanka menafikan yang AS mengetahui akan berlakunya serangan pengganas pada cuti Easter dan memberitahu kerajaan Colombo, lapor CNN hari ini.

“Kami tiada maklumat awal serangan itu,” kata Duta AS Alaina Teplitz kepada saluran berita utama dunia itu dalam wawancara menyentuh serangan pengganas pada Ahad yang membunuh 359 orang, termasuk sekurang-kurangnya empat warga AS.

Seorang menteri Sri Lanka awal minggu ini memberitahu yang India dan AS memberikan maklumat risikan mengenai serangan tiga gereja dan tiga hotel itu, pihak berkuasa menyalahkan sebuah kumpulan tempatan.

“Saya tak boleh bercakap untuk orang lain. Saya tak tahu sumber maklumat lain yang mungkin kerajaan Sri Lanka ada. Saya boleh beritahu anda yang kita tidak ada maklumat awal,” kata duta dipetik CNN.

“Kerajaan Sri Lanka mengakui wujud masalah dalam pengumpulan dan perkongsian maklumat risikan mereka,” kata Teplitz lagi.

Pihak berkuasa Sri Lanka sudah memulakan siasatan bagaimana amaran kemungkinan berlakunya serangan tidak diberitahu kepada kepimpinan tertinggi negara. – AFP, 24 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen