Bukit Aman tubuh pasukan khas kesan anak Indira


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pemangku pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed akan mengetuai pasukan baharu ditubuhkan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2019.

POLIS sudah menubuhkan pasukan tindakan khas untuk mengesan bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah dan anak perempuan mereka Prasana Diksa.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pemangku pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed akan mengetuai pasukan baharu ditubuhkan itu.

Fuzi menambah yang polis juga sudah berjumpa kumpulan Indira Gandhi Action Team (Ingat) minggu lepas selepas kumpulan itu meluahkan hasrat membantu pihak berkuasa untuk menyatukan Prasana dengan ibunya seperti arahan mahkamah.

“Ada mesyuarat termasuklah antara pegawai polis daripada CID (JSJ).

“Kami bertukar pandangan dan maklumat mengenai perkara itu dengan NGO (Ingat). Pasukan khas akan diketuai pemangku pengarah CID akan meneruskan usaha mereka mengesan (Riduan dan Prasana),” kata Fuzi dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur hari ini.

Fuzi juga berkata polis tidak dapat mengesahkan sama ada Riduan masih berada dalam atau sudah keluar negara.

“Ada laporan kata dia ada di Kelantan ada yang kata di Johor. Tetapi, dia masih tak ditemui lagi. Saya tak boleh kata sama ada dia ada dalam negara atau tidak.

“Kami akan guna apa sahaja petunjuk kami ada untuk kesan dia dan budak perempuan itu,” kata Fuzi. – 24 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen