SEMUA ketua polis negeri di Malaysia diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan di tempat ibadat susulan pengeboman di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 320 nyawa.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, yang juga mengarahkan meningkatkan tahap keselamatan di luar Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur.
“Kami mengambil langkah proaktif. Saya sudah mengarahkan semua ketua polis negeri meningkatkan langkah keselamatan,” kata Fuzi kepada pemberita di pusat latihan polis di Jalan Semarak, Kuala Lumpur hari ini.
“Kami sentiasa berjaga-jaga dan juga meningkatkan keselamatan di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka.”
Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan bom di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka. Pihak berkuasa di sana menetapkan angka kematian terkini pada 321 dengan lebih 500 orang cedera.
Malaysia juga menahan beberapa individu yang bersimpati dengan Daesh di bawah undang-undang keselamatan pencegahan dan kini mengawasi perkembangan di Sri Lanka.
Fuzi berkata setakat ini, tiada berita mengenai penyokong Daesh di Malaysia terlibat dalam serangan di Sri Lanka.
“Setakat ini, tiada kaitan dengan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kami bekerjasama rapat dengan rakan dalam mengumpulkan maklumat risikan.” – 24 April, 2019.
Berita penuh di sini
Komen