RAKYAT Mesir mengundi “ya” pada Selasa untuk pakej pindaan perlembagaan yang boleh mengekalkan jawatan Presiden Abdel Fattah el-Sisi sehingga tahun 2030, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Pada satu sidang akhbar, Lashin Ibrahim, ketua Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan Mesir, berkata 88.83% rakyat negara itu mengundi memihak kepada beberapa perubahan besar terhadap perlembagaan Mesir.
Beliau berkata jumlah yang mengambil bahagian dalam referendum itu adalah 44.33% daripada 61,344,503 pengundi yang layak atau lebih 27 juta orang.
Referendum itu membuka peluang kepada Sisi untuk memerintah Mesir sehingga 2030 kerana salah satu pindaan membenarkan penggalnya dalam jawatan dilanjutkan dari empat kepada enam tahun dan membolehkan beliau dipilih semula.
Selain itu, beliau akan dapat melantik seorang atau lebih naib presiden dan diberikan kuasa untuk menentukan tugas atau memecat atau menerima peletakan jawatan mereka.
Di samping itu, Perkara 200 perlembagaan berhubung tugas Angkatan Bersenjata Mesir ditukar daripada “melindungi keselamatan dan keamanan dalam negara” kepada “melindungi perlembagaan, demokrasi serta hak-hak dan kebebasan rakyat.”
Pembangkang Mesir mendakwa perubahan ini boleh “mengesahkan campur tangan ketenteraan.”
Selain itu, Senat yang dimansuhkan susulan Revolusi 25 Januari 2011, akan ditubuhkan semula dan satu pertiga anggotanya akan dilantik oleh presiden.
Sekurang-kurangnya 25% kerusi Parlimen dan senat akan dikhaskan untuk wanita. Juga, presiden kini boleh melantik pihak berkuasa kehakiman seperti ketua pendakwa.
Selaras dengan pindaan itu, orang awam yang didakwa menyerang zon ketenteraan atau angkatan bersenjata akan dibicarakan oleh mahkamah tentera.
Presiden, berikutan kelulusan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata, akan dapat melantik menteri pertahanan. – Bernama, 24 April, 2019.
Komen