PERDANA Menteri Britain Theresa May memberi lampu hijau kepada Huawei, gergasi telekom China, untuk membantu membina rangkaian baharu 5G negara itu, lapor agensi berita Xinhua memetik akhbar utama Britain pada Selasa malam.
Beliau membuat keputusan itu “meskipun menerima amaran daripada Amerika Syarikat dan beberapa menteri paling kanannya bahawa langkah itu menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara,” lapor Daily Telegraph di laman sesawangnya.
Majlis Keselamatan Negara Britain, yang dipengerusikan perdana menteri, bersetuju pada Selasa untuk memberikan akses terhad kepada Huawei bagi membantu membina bahagian rangkaian seperti antena dan infrastruktur “bukan teras” lain, lapor akhbar itu.
Huawei menandatangani 40 kontrak bagi membina dan mengendali infrastruktur telekomunikasi generasi kelima (5G) menjelang 15 April, sebagai persediaan untuk pelancaran komersial teknologi baharu itu, kata gergasi teknologi China berkenaan minggu lepas.
Ken Hu, timbalan pengerusi Huawei, membuat pengumuman itu dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Analisis Global 2019 Global gergasi teknologi tersebut di ibu pejabatnya di Shenzhen, yang terletak di selatan China.
Dijangkakan 5G mengambil masa tiga tahun (2019-2022) untuk mencecah sasaran 500 juta pengguna di seluruh dunia, kata Hu.
Wakil utama Huawei ke Kesatuan Eropah (EU) bulan lepas berkata ia menyambut baik pendekatan objektif yang disyorkan Suruhanjaya Eropah berhubung keselamatan 5G.
“Huawei menyambut baik objektif dan pendekatan mengikut kadar yang disyorkan Suruhanjaya Eropah berhubung keselamatan 5G. Huawei memahami kebimbangan keselamatan siber di pihak regulator Eropah. Berdasarkan persefahaman bersama, Huawei berharap untuk menyumbang kepada kerangka kerja Eropah berhubung keselamatan siber,” menurut kenyataan yang die-mel kepada Xinhua.
“Kami komited untuk terus berganding bahu dengan semua regulator dan rakan kongsi untuk menjayakan kemunculan 5G di Eropah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan Abraham Liu, wakil utama Huawei ke institusi EU, susulan syor Suruhanjaya Eropah berhubung keselamatan bagi 5G.
Diasaskan pada 1987, Huawei adalah sebuah syarikat swasta yang dimiliki penuh para pekerjanya dan memfokus kepada penyediaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi serta peranti pintar.
Syarikat itu beroperasi di lebih 170 negara dan wilayah dengan lebih 180,000 pekerja. – Bernama, 24 April, 2019.
Komen