WHITE House enggan mematuhi tempoh akhir ditetapkan sehingga Selasa untuk menyerahkan enam tahun penyata cukai Presiden Donald Trump kepada Kongres, membawa kemungkinan ia akan berakhir di mahkamah.
Pengerusi Jawatankuasa Kaedah dan Cara Perwakilan, Richard Neal, sudah memberikan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri sehingga 10 April untuk menyerahkan penyata cukai peribadi presiden, dan beberapa entiti dikaitkan dengan Trump, bagi 2013 hingga 2018.
Tarikh akhir itu dilanjutkan sehingga 23 April tetapi Trump memberi isyarat beliau tidak mahu maklumat kewangannya didedahkan, mengulangi alasan yang sering digunakan semasa kempen presiden 2016 yang beliau tidak akan menyerahkan penyata cukainya semasa di audit oleh IRS.
Trump melanggar norma yang sekian lama diwujudkan ketika pilihan raya 2016 dengan enggan mendedahkan penyata cukai pendapatannya, seperti mana dilakukan presiden sebelumnya sejak 1970-an, walaupun ia tidak diwajibkan undang-undang.
“Presiden sangat jelas: Setelah beliau bebas daripada audit, beliau akan mempertimbangkan untuk melakukannya,” kata Setiausaha Timbalan Akhbar Rumah Putih Hogan Gidley kepada Fox News pada Selasa.
“Beliau tidak berhasrat untuk melakukannya pada masa ini.”
Jabatan Perbendaharaan AS berkata ia sedang mengkaji permintaan Neal dan berunding dengan Jabatan Kehakiman, dan terdapat “soal perlembagaan yang serius” yang berkaitan dengan permintaan itu.
Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, dalam surat kepada Neal, berkata jabatan itu akan membuat keputusan akhir pada 6 Mei sama ada untuk mematuhi atau tidak.
Demokrat memberi amaran bahawa tindakan undang-undang, seperti sepina data kewangan, boleh menyusul jika pentadbiran Trump tidak mematuhinya, memaksa pertempuran panjang di mahkamah.
Demokrat memetik satu undang-undang kecil yang membolehkan Kongres menyemak penyata cukai sesiapa sahaja untuk menjalankan siasatan. – AFP, 24 April, 2019.
Komen