Pengambilan berdasarkan kaum perlu '10 hingga 20 tahun' lagi, kata kumpulan Melayu 


Looi Sue-Chern

Universiti awam di Malaysia mempunyai dasar pengambilan yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera, yang mula diperkenalkan pada 1970-an. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 April, 2019

SISTEM kuota berasaskan kaum bagi pendidikan, yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera, perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tahun lagi sehingga mereka mampu menutup jurang dengan pelajar bukan Bumiputera, kata kumpulan pendidikan Melayu.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Alif Anas Md Noor berkata, pelajar Bumiputera masih perlukan bantuan untuk seiring dengan pelajar bukan Bumiputera.

“Kami bantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk memansuhkan dasar kuota sekarang,” kata Alif kepada The Malaysian Insight.

“Dari segi akademiknya, pelajar Buiputera masih tidak sekuat pelajar bukan Bumiputera jadi kita masih perlukan dasar yang dapat membantu mereka.”

Beliau mengulas mengenai perbahasan sama ada Malaysia patut mengekalkan sistem kuota berdasarkan kaum untuk pengambilan matrikulasi dan universiti.

Melihat kepada sejarah pendidikan negara, Alif berkata golongan bukan Bumiputera, terutamanya kaum Cina, sentiasa mempunyai prestasi akademik yang baik kerana sistem pendidikan mereka peroleh dari China lebih maju berbanding pendidikan Melayu.

“Itu sebabnya saya rasa kita masih 10 ke 20 tahun ketinggalan, dan kita perlu beri perhatian kepada jurang ini.

“Kita juga percaya hanya menerusi pendidikan sahaja mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi Bumiputera, namun kita memerlukan masa 10 hingga 20 tahun lagi jika ingin bersaing pada peringkat itu.

“Bukan kerana pelajar Buiputera takut dengan persaingan, tetapi masih ada jurang yag perlu diberi tumpuan,” katanya.

Dasar kuota yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera bagi kemasukan program matrikulasi dan universiti kini hangat diperdebatkan selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan awal bulan ini.

Beberapa ahli politik Pakatan Harapan mahu dasar itu dimansuhkan, yang mana menurut mereka ia hanya akan memberi kesan buruk kepada pelajar dan bukan cara untuk terus maju ke hadapan.

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) turut menggesa kerajaan untuk memilih meritokrasi penuh dalam pendidikan tinggi, dan memansuhkan kuota berdasarkan kaum.

Setiausaha Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad menyalahkan ahli politik kerana menentuka keadaan dengan tidak membenarkan peluang yang saksama dalam pendidikan untuk semua.

“Kita tidak boleh biarkan ahli politik menentukan keadaan. Sekiranya kita biarkan ahli politik campur tangan dalam isu ini, kita tidak akan mencapai peluang yang saksama dalam pendidikan.

“Kita tidak perlu bercakap tentang kaum, agama dan isu lain.

“Sekiranya kita mencapai ini (peluang saksama), maka tidak akan timbul lagi aduan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, masyarakat perlu tampil, bertanggungjawab dan mendesak kerajaan untuk menyediakan peluang yang saksama dalam pendidikan, dan menambah masyarakat tidak boleh hanya bercakap tentang sistem kuota, dan biarkan ahli politik membuat keputusan dalam hal pendidikan.

Menjelaskan tentang dasar kuota, Hasan berkata ia diwujudkan oleh ahli politik.

Beliau berkata, ketika bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971, tidak pernah disebut tentang mana-mana “kuota” untuk memberi penekanan terhadap jurang sosio-ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Pihak lain yang mula menggunakan terma itu. Entah bagaimana, ahli politik memperkenalkan sistem kuota dan membawa kepada salah tafsir.”

Beliau berkata, dasar pengambilan itu adalah untuk merapatkan jurang antara golongan berada dan kurang berada; dan ia berlaku kerana majoriti masyarakat miskin adalah dari kalangan orang Melayu.

Katanya, ramai orang Melayu tiada akses untuk peluang pendidikan dan memerlukan bantuan, jadi kerana situasi ini, masyarakat Melayu menjadi keutamaan bagi kemasukan ke beberapa sekolah dan asrama.

Hasan berkata, persoalannya kini adalah sama ada jurang itu masih cukup luas untuk mengesahkan dasar berkenaan.

“Jika jurang itu masih ada, maka dasar itu masih perlu.

“Jika ia sudah tiada dengan semua orang mempunyai peluang kepada pendidikan, jadi tidak sepatutnya ada lagi aduan.” – 24 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen