NZ, Perancis kerjasama tangani ekstremisme dalam talian


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata serangan pengganas pada 15 Mac di dua masjid di Christchurch menyaksikan media sosial digunakan 'dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini'. – Gambar AFP, 24 April, 2019.

NEW Zealand dan Perancis mengumumkan usahasama pada Rabu untuk membawa negara serta syarikat teknologi bersama dalam usaha menghalang media sosial digunakan sebagai menganjur dan menggalakkan keganasan serta ekstremisme.

Pertemuan itu akan berlangsung di Paris pada 15 Mei, dan akan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Ardern berkata serangan pengganas pada 15 Mac di dua masjid di Christchurch yang menyebabkan 50 orang Islam terbunuh, menyaksikan media sosial digunakan “dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini sebagai alat untuk menggalakkan tindakan keganasan dan kebencian”.

Serangan masjid itu dipaparkan secara langsung di Internet dan memperlihatkan rakaman seorang lelaki bersenjata menembak rambang lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Hampir enam minggu selepas pembunuhan beramai-ramai, laman media sosial masih bergelut untuk memadamkan salinan video lelaki bersenjata itu.

“Kami menyeru para pemimpin syarikat teknologi menyertai kami dan membantu mencapai matlamat kami untuk menghapuskan ekstremisme dalam talian pada Sidang Kemuncak Christchurch di Paris,” kata Arden.

Mesyuarat itu akan diadakan bersama mesyuarat “Tech for Humanity” Menteri Digital G7, dan sidang kemuncak “Tech for Good” di Perancis yang dijadualkan pada 15 Mei.

“Kita semua perlu bertindak, dan itu termasuk penyedia media sosial yang lebih bertanggungjawab terhadap kandungan pada platform mereka, dan mengambil tindakan supaya kandungan ekstremis ganas tidak boleh diterbitkan dan dikongsi,” kata Ardern.

“Adalah penting platform teknologi seperti Facebook tidak digunakan sebagai alat untuk keganasan, dan sebaliknya menjadi sebahagian daripada penyelesaian global untuk menentang ekstremisme.”

New Zealand mengharamkan rakaman serangan itu dan manifesto yang ditulis serta dikeluarkan oleh Brenton Tarrant, yang berdepan 50 dakwaan membunuh dan 39 percubaan membunuh berikutan serangan masjid itu. – AFP, 24 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen