Presiden Sri Lanka ikrar rombak pasukan keselamatan susulan serangan bom


Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena berkata beliau akan melakukan penyusunan semula sepenuhnya pasukan keselamatan dan polis di bawah naungannya. – Gambar EPA, 24 April, 2019.

PRESIDEN Sri Lanka pada Selasa berikrar melakukan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi ketenteraan susulan insiden bom yang mengorbankan ratusan nyawa, selepas kerajaan mengaku mengabaikan amaran.

Presiden Maithripala Sirisena, yang juga menteri pertahanan dan undang-undang dan ketenteraman, berkata beliau akan melakukan penyusunan semula sepenuhnya pasukan keselamatan dan polis di bawah naungannya.

“Saya berharap akan membuat perubahan besar dalam kepimpinan pasukan keselamatan dalam tempoh 24 jam akan datang,” kata presiden itu kepada seluruh negara.

“Penyusunan semula pasukan keselamatan dan polis akan selesai dalam masa seminggu.”

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengakui polis mempunyai ririskan mengenai serangan bunuh diri terhadap gereja dan hotel mewah sebelum pengeboman pada Ahad, tetapi gagal bertindak.

Lebih 320 orang terbunuh.

Satu siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui mengapa polis tidak berkongsi maklumat risikan dengan pejabat Wickremesinghe, katanya kepada pemberita pada Selasa, sejurus sebelum ucapan presiden.

Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab bagi siri pengeboman di tiga gereja Katolik dan tiga hotel mewah, dan mendedahkan gambar mereka yang dikatakan bertanggungjawab. – AFP, 24 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen