Peguam negara boleh rayu terhadap pembebasan kes bunuh amah


Ragananthini Vethasalam

M.A.S Ambika (baju biru, tengah) dibebaskan daripada dakwaan membunuh Adelina Lisao selepas pihak pendakwa memutuskan untuk menarik balik pertuduhan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2019.

PEGUAM Negara Tommy Thomas boleh merayu terhadap pembebasan M.A.S. Ambika kerana didakwa membunuh pembantu rumahnya tahun lalu, kata peguam.

Ambika dibebas dan dilepaskan daripada dakwaan membunuh Adelina Lisao selepas pihak pendakwa memutuskan untuk menarik balik pertuduhan itu.

Bagaimanapun, keputusan itu menyebabkan bantahan daripada kumpulan wanita dan pihak berkuasa Indonesia.

Bagaimanapun, beberapa peguam semalam mengatakan kes itu tidak ditutup, sambil menambah peguam negara boleh memfailkan rayuan.

Memandangkan Ambika dibebas dan dilepaskan, ia bermakna beliau bebas tanpa syarat, kata Pengerusi Jawatankuasa Migran, Pelarian dan Imigran Majlis Peguam, M. Ramachelvam memberitahu The Malaysian Insight.

“Tetapi pihak pendakwa mempunyai hak merayu terhadap pembebasan dan pelepasan itu, dan memohon agar tertuduh diberikan pelepasan yang tidak membebaskan,” kata Ramachelvam.

Dengan cara ini, kesnya boleh dibangkitkan lagi jika ada bukti baru, katanya.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya berkata ia juga penting untuk mengetahui punca di sebalik keputusan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut.

Beliau berkata jika pihak pendakwaan menarik balik tuduhan itu, hakim hanya mempunyai dua pilihan - sama ada memberikan pelepasan yang bererti membebaskan, iaitu pembebasan penuh atau pelepasan yang bererti tidak dibebaskan - bermakna jika pendakwa ingin mendakwa dengan pertuduhan itu semula - kes itu akan diteruskan.

Jabatan Peguam Negara mempunyai kuasa menarik balik pertuduhan tetapi mesti ada sebab yang kukuh berbuat demikian, kata Latheefa. – 24 April, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen