MALAYSIA meningkatkan lagi tahap keselamatan di rumah ibadat selain mengumpulkan hasil risikan serantau susulan serangan bom ke atas gereja dan hotel di Sri Lanka pada Hari Easter Ahad lalu yang membunuh lebih 300 nyawa.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu The Malaysian Insight, tahap keselamatan itu sudah dipertingkatkan selepas serangan penembak di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang membunuh 50 orang.
“Tahap berjaga-jaga itu naik pada Ahad lepas susulan serangan di Sri Lanka,” kata Hamid.
“Unit membanteras keganasan kita sedang mengumpulkan maklumat daripada agensi keselamatan serantau.
“Kita perlu lebih bersiap sedia,” tambahnya.
Semalam, kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Sri Lanka, mendakwa dilakukan pejuangnya di negara itu.
Kenyataan yang dibuat melalui media kumpulan itu bagaimanapun tidak menghuraikan pengakuan tanggungjawab tersebut.
Pihak berkuasa di Sri Lanka turut mengesyaki serangan didalangi kumpulan radikal tempatan atas nama Jemaah Tauhid Nasional dan kumpulan fahaman Salafi atas nama Millatu Ibrahim. Sehingga semalam, 40 suspek ditahan.
Setakat semalam, serangan bom itu membunuh 321 orang sementara lebih 500 cedera.
Walaupun serangan seperti di New Zealand dan Sri Lanka asing di negara ini namun pihak polis tidak mengambil mudah atas apa yang berlaku, kata Hamid.
“Kita sedang meningkatkan usaha untuk menjaga semua tempat ibadat di Malaysia,” kata Hamid lagi.
Kali terakhir sebuah rumah ibadat diserang di Malaysia ialah pada 2010 iaitu sebuah gereja di Taman Melawati di Setapak, Selangor.
Gereja itu dibakar ketika kemuncak ketegangan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian.

Polis menahan dua lelaki Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan Raja Muhammad Idzham Raja Ibrahim, 22.
Mereka disabitkan tuduhan khianat dengan api dan dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah di mahkamah.
Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe semalam memberitahu Parlimen serangan pada Ahad dibimbangi ada kaitan dengan unsur balas dendam terhadap serangan di Christchurch.
Kumpulan penyerangnya juga disyaki mendapat bantuan anasir Daesh yang terusir dari kubu kuatnya di Syria.
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menangkap beberapa rakyat negara ini yang simpati dengan perjuangan Daesh dan ditahan di bawah undang-undang keselamatan.
Serangan penembak ke atas dua masjid di Christchurch pada Mac membunuh seorang rakyat Malaysia dan mencederakan tiga yang lain. Seorang warga New Zealand ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. – 24 April, 2019.
Komen