264 terbunuh dalam serangan di Libya


Sekurang-kurangnya 264 orang terbunuh manakala 1,266 lagi cedera termasuk orang awam dalam serangan yang dipimpin ketua tentera Khalifa Haftar ketika menawan ibu kota Libya. – Gambar AFP, 23 April, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 264 orang terbunuh manakala 1,266 lagi cedera termasuk orang awam dalam serangan yang dipimpin ketua tentera Khalifa Haftar ketika menawan ibu kota Libya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter menyeru pertempuran di antara Tentera Kebangsaan Libya (LNA) pimpinan Haftar dan pasukan yang setia kepada Pakatan Kerajaan Kebangsaan (GNA) dihentikan buat sementara.

Ia turut menggesa semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Penyelaras kemanusiaan PBB di Libya, Maria do Valle Ribeiro berkata, pertempuran yang berlaku sejak 4 April lalu di pinggir selatan Tripoli memaksa lebih 35,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

“Perpindahan berterusan dan semakin meningkat setiap hari sambil memberi amaran angka berkenaan sekadar anggaran minimum kesan pertikaian terbabit.

“Penekanan perlu diberi kepada semua pihak untuk menghormati orang awam.” katanya.

“Mana-mana negara yang mempunyai kelebihan itu harus menggunakannya untuk memastikan orang awam dapat dilindungi dan paling tidak terjejas akibat pertempuran,” katanya. – AFP, 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen