Daesh mengaku bertanggungjawab serangan Hari Easter


AFP melaporkan pengakuan Daesh itu dibuat 48 jam selepas letupan yang memusnahkan tiga hotel mewah terkenal dengan warga asing dan tiga gereja yang yang sarat dengan penganut Kristian sempena sambutan Easter. – Gambar AFP, 23 April, 2019.

KUMPULAN Daesh hari ini mengaku bertanggungjawab atas kejadian serangan bom di gereja dan hotel di Sri Lanka pada Ahad lalu. 

AFP melaporkan pengakuan Daesh itu dibuat 48 jam selepas letupan yang memusnahkan tiga hotel mewah terkenal dengan warga asing dan tiga gereja yang yang sarat dengan penganut Kristian sempena sambutan Hari Easter.

Kejadian yang dilakukan oleh pengebom berani mati itu menyebabkan lebih 320 orang maut.

Pengakuan itu selepas kerajaan Sri Lanka berkata siasatan awal mengesyaki serangan adalah sebagai tindak balas terhadap kejadian tembakan rambang di dua buah masjid di Christcurch, New Zealand yang meragut 50 nyawa bulan lepas.

Kerajaan menuduh kumpulan radikal tempatan, Thowheeth Jama’ath Nasional (NTJ) bertanggungjawab atas serangan bom dengan mendapat bantuan militan antarabangsa.

Bagaimanapun, Daesh tidak memberikan bukti pengakuan atau butiran mengenai pengebom.

Sumber polis Sri Lanka pula berkata pengebom yang mensasarkan dua hotel pada Ahad adalah dua beradik Muslim, anak kepada ahli perniagaan rempah kaya di Colombo.

The Guardian pula melaporkan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata penyiasat sudah mengenal pasti suspek serangan sambil menambah beberapa pengebom pernah ke luar negara.

Wickremesinghe dipetik berkata juga tidak menolak kemungkinan serangan sebagai balas dendam serangan ke atas masjid di Christchurch di New Zealand. – 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen