KEMENTERIAN Sumber Manusia mahu meningkatkan undang-undang sedia ada bagi memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pembantu rumah, kata M Kulasegaran.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, pada masa ini Akta Pekerjaan menyediakan beberapa perlindungan namun pihaknya meneliti kemungkinan menggubal sebuah akta khusus untuk menyelia hal ehwal pembantu rumah.
“Sebagai langkah segera kita sedang melihat untuk menambah peruntukan-peruntukan baru bagi memperkemaskan Akta Pekerjaan dan memberikan perlindungan lebih baik kepada pembantu rumah.
“Selepas itu, kita akan gubal sebuah akta khusus untuk melindungi mereka,” katanya kepada wartawan di Putrajaya, hari ini.
Kulasegaran mengulas gesaan wakil rakyat dan pertubuhan masyarakat menuntut undang-undang lebih ketat bagi melindungi pekerja asing selepas seorang majikan, M.A.S Ambika dibebaskan daripada tuduhan membunuh amah Indonesianya Adelina Lisao.
Ambika berdepan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Adelina, 26, pada Februari tahun lalu.
Menurut Kulasegaran, akta baharu yang sedang dikaji itu akan juga menyatakan dengan khusus tugas dan tanggungjawab amah.
“Peraturan baru ini sementara sehingga kita ada sebuah akta baru untuk itu,” katanya.
Kulasegaran juga menjelaskan penggubalan akta baharu itu akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri serta beberapa agensi lain.
Ambika dilaporkan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan selepas pihak pendakwa raya memohon tertuduh dilepas tetapi tidak dibebaskan.
Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari tahun lalu, sehari selepas beliau dihantar ke hospital setelah ditemui dalam keadaan cedera didakwa didera majikannya. – 23 April, 2019.
Komen