Keputusan mahkamah persekutuan terhadap Arun Kasi mengecewakan, kata peguam


Ragananthini Vethasalam

Arun Kasi dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan didenda RM40,000 kerana menghina mahkamah berhubung dua kenyataannya yang mengkritik prosiding serta keputusan mahkamah persekutuan. – Gambar ihsan Arun Kasi, 23 April, 2019.

Berlebihan, belum pernah terjadi dan tidak perlu.

Ini bagaimana ahli perundangan menggambarkan hukuman penjara yang dikenakan mahkamah persekutuan terhadap peguam Arunachalam Kasi setelah didapati menghina mahkamah.

Arunachalam lebih dikenali sebagai Arun Kasi dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan didenda RM40,000 kerana menghina mahkamah berhubung dua kenyataannya yang mengkritik prosiding serta keputusan mahkamah persekutuan.

Arun dituduh membuat kritikan merujuk kepada afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Hamid Sultan Abu Backer atas dakwaan salah laku kehakiman dalam dua artikel diterbitkan di portal online Aliran pada 16 Februari dan 22 Februari 2019.

Dalam kedua-dua artikel, Arun mengkritik tindakan prosiding mahkamah persekutuan dan keputusan dihantar pada 11 November 2018 dalam kes PCP Construction vs Leap Modulation.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim berkata, hukuman itu belum pernah terjadi sebelumnya.

Latheefa memberitahu The Malaysian Insight bahawa keputusan itu sudah tentu berlebihan.

“Dia tidak sepatutnya disabitkan atas kesalahan dibuat. Perlu ada batas diberikan kepada mereka yang mengkritik mahkamah. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini untuk memenjarakan seseorang atas komen dibuat terhadap mahkamah.
“Dalam apa jua keadaan, tuduhan menghina itu berkaitan dengan afidavit Hakim Hamid dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang belum selesai, jadi perkara ini tidak boleh dibawa ke hadapan,” katanya. 

Zaid menyifatkan keputusan itu sebagai tidak wajar dan melahirkan rasa terkejut kerana beliau juga pernah mengkritik mahkamah pada masa lalu tetapi tidak ada tindakan diambil. – 23 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen