PADA 2005, melalui dana khas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Syirfan Indra Mitra Suria Hussin menerbitkan dokumentari Ina: Hari-hari Terakhir Gadis HIV. Dokumentari 45 minit itu disiarkan Astro Ria sebagai program khas sempena Hari Aids Sedunia.
Syirfan Indra merakamkan kisah benar mengenai gadis jalanan bernama Ina yang hidup sebagai pelacur. Gadis berasal dari Sentul terpaksa melacur akibat penyalahgunaan dadah.
Ketika penggambaran selama dua minggu, Ina sudah berada dalam keadaan kritikal kerana AIDS. Melalui dokumentari ini turut dipaparkan proses syahadah semula kerana Ina pernah murtad.
Gadis berusia lewat tiga puluhan itu murtad kerana tawaran kewangan bagi merawat penyakitnya setelah ditemukan tidak bermaya di tepi jalan.
Kisah Ina tidak bermula semudah kes lari rumah atau kegilaan remaja untuk berpoya-poya. Watak gelap Ina, satu simbol betapa rumitnya kehidupan setiap watak yang terjerumus ke dalam belitan dan putaran ganas dunia gelap belakang mati.
Ina simbol kehidupan Belakang Mati di Chow Kit. Kawasan hitam yang sejak dekad tujuh puluhan menjadi sudut gelap penagihan dadah dan seks murah di Kuala Lumpur.
Pada zaman havoc, antara dekad tujuh puluhan hingga sekitar tahun sembilan puluhan, Belakang Mati dipenuhi aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Selain syurga pelacur murahan, kawasan ini turut terkenal kerana tawaran seks pondan.
Itu imej Belakang Mati sebelum era tranformasi. Pada 1995, selepas pelantikan Ketua Polis Negara Rahim Noor, satu operasi besar-besaran dilakukan bagi pembersihan lokasi ini daripada sarang dadah dan pelacuran.
Sejarah nama Belakang Mati sangat ironik. Nama asalnya ialah Lorong Haji Taib. Sempena nama pengasas kawasan pengajian agama ketika Kampung Baru mula diteroka orang Melayu sekitar 1900.
Haji Taib ialah nama asal Haji Mohamed Taib bin Haji Abdul Samad yang berasal dari Batusangkar, Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia (1858-1925).
Itu sejarah panjang. Kisah dokumentari mengenai Ina hanya satu nama daripada ribuan tubuh yang dimusnahkan oleh dadah dan seks Belakang Mati.
Kini pada 2019, perkataan Belakang Mati pun sudah dilupakan orang. Kawasan ini kembali popular dengan nama Lorong Haji Taib.
Imej balai polis yang agam, deretan kedai pemborong pakaian serta pusat pemborong mainan kanak-kanak, mengisi imej siang Lorong Haji Taib.
Mulai 6.00 petang hingga 2.00 pagi pula, kawasan ini syurga peniaga pakaian terpakai.
Dunia gelap baharu Chow Kit
Apabila aktivis gerakan profesional anak muda yang dikenali Gerak Malaysia mahu menganjurkan Gerak Diskusi pada 10.00 pagi, Sabtu 27 April ini, di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, ia mengembalikan memori lama.
Apa lagi tema asalnya mengenai Gelandangan Kuala Lumpur.
Sejarah panjang dan latar ngeri Belakang Mati tidak akan boleh dipisahkan dengan imej gelandangan hari ini. Sejak 2005, melalui dokumentari Syirfan Indra, dunia gelap lokasi ini telah dicerahkan puluhan lampu produksi.
Cuma, apabila Gerak Malaysia mahu membicarakan isu gelandangan hari ini, ertinya semua imej era Ina pesakit HIV dan generasinya sudah melenyap pergi.
Belakang Mati sudah berubah. Destinasi antara Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Laut kini bukan lagi dibayangi penagih dadah dan pekerja seks.
Limpahan ekonomi jalanan Lorong Haji Taib telah menolak aktiviti gelapnya keluar dari Jalan Chow Kit. Saki-baki pelacur dan penagih dadah masih kelihatan. Itu pun warisan lama yang jumlahnya boleh dihitung jari.
Wajah-wajah veteran ini hanya jumlah kecil dalam barisan ratusan manusia yang muncul di Chow Kit pada setiap malam untuk mendapatkan bantuan makanan.
Kalau pelacur dan penagih hanya sejumlah kecil, siapa yang membentuk ratusan barisan manusia yang kelaparan dan memerlukan bantuan makanan?
Mereka ialah warga B40 yang hidup di sekitar kawasan perumahan berdekatan Chow Kit.
Antaranya, sekitar flat Sentul, flat Kampung Baru dan perumahan di kawasan Jalan Ipoh, Batu dan Segambut.
Wajah anak-anak kecil dan gadis sunti, berkerumunan menunggu makanan yang diedarkan pelbagai NGO. Satu kejutan baru selepas tiga puluh tahun, saya melihat imej gelap Belakang Mati dan Chow Kit.
Hari ini, lebih separuh wajah-wajah malang yang menantikan makanan ialah warga B40 yang tinggal di pelbagai Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Siapa sangka, kelaparan 30 tahun lalu yang menjadi milik perut pelacur, pondan dan penagih dadah, kini menjadi azab rakyat jelata yang memiliki rumah PPR tetapi mengalami krisis makanan.
Walaupun warga B40 ini memiliki rumah, tetapi menjadi “gelandangan mencari makanan”.
Perubahan demografi bagi penerima edaran makanan oleh pelbagai NGO kini menemui realiti baharu. Satu petanda, akses makanan warga B40 kini menuju garis kritikal.
Malah, Laporan Unicef 2018 yang dikeluarkan pada Mac tahun lalu nyata terbukti ada kebenaran.
Bahawa, 30% kanak-kanak di perumahan PPR Kuala Lumpur berdepan masalah nutrisi.
Satu realiti yang membuatkan kita berfikir: apakah krisis makanan kini antara ancaman B40 dalam menangani beban kos sara hidup serta memuncaknya kenaikan harga barang sejak 2014?
Pada sesi di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, sebagai wartawan dan aktivis Laskar4Life (L4L) yang berpangkalan di Jalan Abdul Rahman Idris, Kampung Baru, saya akan membincang perspektif realiti ini.
Pada tahun 2012, sekitar 50% penerima bantuan makanan yang diedarkan L4L ialah pelacur, pondan dan penagih tua yang terperangkap di Belakang Mati dan gagal memulakan hidup baru.
Baki sekitar 30% ialah individu dan keluarga gelandangan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup di jalanan kerana tidak mampu menyewa rumah.
Manakala baki 20% ialah musafir di masjid, pesakit jiwa, pemabuk todi dan warga tua yang tiada tempat tinggal.
Tapi sejak 2015, program mingguan atau bulanan yang dianjurkan sudah menunjukkan trend perubahan drastik.
Kalau pada 2012, L4L terpaksa merentas laluan Chow Kit, Masjid India, Bangkok Bank, Masjid Negara dan Pudu Raya untuk menghabis edaran 800 bungkus makanan, kini jumlah itu tidak cukup untuk sekitar Chow Kit.
Ratusan penerima dengan 30% ialah kanak-kanak bawah 12 tahun akan berada di Dataran Amal (depan CIMB Jalan Chow Kit) seawal 9.00 malam hingga 1.00 pagi menantikan edaran makanan.
Sepanjang Ramadan 2018, L4L memiliih aktiviti mengedarkan gula-gula khusus untuk kanak-kanak kerana limpahan makanan yang terlalu banyak.
Waktu itu, 80% penerima bantuan makanan berbuka dan bersahur serta edaran pakaian terpakai ialah warga B40 dari PPR berdekatan.
Ini realiti sangat mengejutkan. Namun, realiti adalah realiti. Walaupun selepas lima tahun demografi telah berubah, saya tetap terkejut setiap kali menyertai L4L turun ke Chow Kit. – 24 April, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen