SELEPAS berdekad lamanya ahli politik memainkan retorik perkauman dan agama sebagai agenda politik mereka, rakyat Malaysia sekarang ini sepatutnya lebih bijak menangani kenyataan yang dibuat oleh mereka yang berkuasa, kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohamed Arshad Raji.
Arshad berkata Malaysia tidak akan maju jika rakyatnya masih memainkan isu kaum dan agama, malah beliau berkata sentimen itu amat berbahaya.
“Kita tidak boleh terus memainkan isu kaum dan agama,” beliau memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini.
Arshad berkata satu-satunya cara untuk untuk menangani perkara ini ialah rakyat Malaysia perlu bersuara menentang naratif sdemikian.
“Patriot beberapa kali menyuarakan bantahan terhadap mereka yang memainkan sentimen agama dan kaum,” katanya, sambil menambah kumpulan bukan kerajaan lain juga perlu melakukan perkara sama.
Beliau memberikan contoh beberapa pemimpin PAS yang baru-baru ini mengutuk sambutan tahun baharu Thailand, Songkran. Mereka menyifatkan sambutan perayaan itu menyinggung perasaan orang Islam.
Awal bulan ini, Ahli Parlimen Semanggol dari PAS, Razman Zakaria menyelar sambutan perayaan Songkran oleh masyarakat Siamdi Pengkalan Hulu. Razman berkata sambutan itu tidak disenangi orang Islam. – 23 April, 2019.
Komen