AKTIVIS terkenal warga Malaysia Farouk A Peru memulakan satu petisyen untuk menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengusir penceramah pelampau Islam yang jadi buruan India, Dr Zakir Naik dari negara ini.
Pakar agama Islam yang berpangkalan di London itu melancarkan petisyen itu di platform change.org pagi tadi, dua hari selepas serangan bom di gereja dan hotel di Colombo, Sri Lanka yang setakat ini membunuh lebih 300 orang.
Farouk menggesa Dr Mahathir untuk “menghentikan penceramah pelampau sebelum terlambat” yang ditujukan kepada Zakir.
Petisyen turut menggesa tindakan diambil ke atas penceramah tempatan Firdaus Wong.
Dalam petisyen itu, Farouk mengingatkan Dr Mahathir yang keputusannya membenarkan Zakir terus kekal di Malaysia sedangkan beliau dihendaki pihak berkuasa India kerana didakwa mencetuskan ketegangan kaum dan pelbagai aktiviti jenayah lain.
Zakir menjadi tumpuan siasatan di India dan Bangladesh selepas dua penyerang dalam serangan pengganas di Dhaka pada Julai 2016 -yang membunuh 22 orang- mendakwa mereka terpengaruh dengan “ajaran radikalnya”.
Zakir berulang kali menegaskan beliau tidak bersalah, mendakwa beliau tidak pernah mempromosi keganasan atas nama Islam atau tidak.
Beliau adalah penceramah terkenal di Malaysia, sering menerima jemputan bercakap di majlis awam.
Dua minggu lepas, beliau terlibat dalam dialog dengan pelajar Universiti Utara Malaysia, Kedah.
Farouk berkata Zakir mengamalkan ajaran agama yang agresif, dan Firdaus pula yang menggelarkan bukan Islam sebagai “belum Islam” menyanjung tinggi Zakir.
“Gelaran yang menghina ini memperlekeh pengalaman beragama rakyat Malaysia lain dan dikeluarkan dengan gambaran wujud kepastian yang mereka (bukan Islam) akhirnya akan menganut Islam.
“Bila rakyat Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati dan cuba mempertahankan agama mereka, Firdaus bertindak seperti dirinya adalah mangsa dan sedang diserang. Trend ini membimbangkan.” – 23 April, 2019.
Komen