MAHKAMAH Agung Myanmar hari ini menolak rayuan dua wartawan Reuters yang dipenjara tujuh tahun kerana dakwaan berkaitan pelaporan mereka berkaitan krisis Rohingya, kata salah seorang peguam mereka.
Wartawan Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, dipenjara sejak ditahan pada Disember 2017 di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Sabitan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Yangon pada Januari lalu.
Hari ini, kedua-dua wartawan itu tidak hadir di Mahkamah Rayuan di Naypyidaw untuk mendengar rayuan mereka.
“Rayuan kami ditolak,” kata peguam Khin Maung Zaw.
“Mereka mengekalkan keputusan mahkamah rendah.”
Penyokong percaya kedua-dua wartawan itu dihukum kerana menyiasat pembunuhan 10 orang Rohingya Muslim di negeri Rakhine pada September 2017.
Laporan mereka menerima Hadiah Pultizer, salah sebuah anugerah tertinggi dunia kewartawanan.
Wa Lone dan Kyaw Soe Oo disabitkan bersalah kerana memiliki dokumen rahsia berkaitan operasi keselamatan di Rakhine ketika operasi ganas tentera ke atas Rohingya yang menyebabkan hampir 740,000 jadi pelarian ke Bangladesh.
Kumpulan hak asasi dan pakar perundangan berkata kes itu dipenuhi salah laku.
Seorang pemberi maklumat- pegawai polis- memberi keterangan dalam perbicaraan yang beliau diarahkan pegawainya untuk melakukan operasi memerangkap wartawan itu- keterangan yang diabaikan hakim.
Kumpulan hak asasi menggesa Aung San Suu Kyi masuk campur untuk mendapatkan kedua-dua wartawan itu diampunkan, tetapi sehingga kini beliau enggan berbuat demikian.
“Wa Lone dan Kyaw Soe Oo tidak melakukan sebarang jenayah, juga tidak ada bukti mereka berbuat demikian,” kata Ketua Undang-Undang Gail Gove dalam satu kenyataan susulan penghakiman terbaru ini.
“Sebaliknya, mereka adalah mangsa jerat polis untuk mendiamkan laporan kebenaran. Kami akan terus berusaha sehabis baik untuk membebaskan mereka secepat mungkin.” – AFP, 23 April, 2019.
Komen