Koroner inkues Adib tolak permohonan panggil balik pakar


Alfian Z.M. Tahir

Koroner Rofiah Mohamad menolak permohonan supaya dua pakar patalogi Dr Ahmad Hafizam Hasmi (gambar) dan Dr Mohd Shah Mahmood dipanggil balik beri keterangan dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

MAHKAMAH Koroner Shah Alam hari ini menolak permohonan untuk memanggil semua pakar patalogi Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood kerana percanggahan keterangan kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad berkata inkues tidak akan capai kemajuan sekiranya dua pakar tersebut dipanggil sekali lagi.

“Kedua-dua mereka akan beri penjelasan dan keterangan yang sama sekali lagi.

“Tidak ada keperluan untuk memanggil mereka kerana ia tidak mengubah dapatan yang direkod mahkamah dan jika kita panggil dua doktor tersebut, ada kemungkinan kita perlu panggil sekali pagi Prof Shahrom (Abd Wahid) dan kes akan berlanjutan,” kata Rofiah.

“Saya berpuas hati dengan penemuan inkues sebelum ini jadi tiada keperluan untuk panggil semula Dr Shah dan Dr Hafizam,” tambahnya.

Permohonan untuk memanggil semula kedua-dua pakar perubatan itu dibuat pegawai penyiasat inkues selepas keterangan mereka dicanggah oleh seorang lagi saksi pakar- Dr Shahrom- minggu lepas.

Susulan keputusan koroner pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah berkata beliau akan membuat rayuan keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Rofiah menetapkan 10 Mei untuk pendengaran kes inkues itu.

Semalam, Hamdan berhujah yang inkues wajar memanggil semula dua pakar tersebut selepas Dr Shahrom mendedahkan yang Adib berkemungkinan diserang ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield tahun lepas.

Dr Shahrom menjelaskan Adib diserang sekurang-kurangnya dua penyerang ketika rusuhan berdasarkan pemeriksaan bebas yang dilakukannya.

Penemuan Dr Shahrom berbeza dengan keterangan Dr Hafizam dan Dr Shah yang bersetuju Adib tidak diserang tetapi cedera parah selepas dilanggar secara tidak sengaja oleh van EMRS.

Seorang lagi saksi, pengawai penyiasat ASP Lew Keng Joe sebelum ini juga memberi keterangan yang beliau tidak percaya Adib diserang berdasarkan kecederaan dialami Adib.

Adib, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan kuil pada 27 November tahun lepas. Beliau meninggal dunia pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN). – 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen