New IRA mengaku bunuh wartawan


Lyra McKee, 29, dibunuh New IRA minggu lepas. – Gambar AFP, 23 April, 2019.

KUMPULAN penentang republikan New IRA telah mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan wartawan Lyra McKee minggu lepas di Ireland Utara, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada awal Selasa kepada The Irish News, kumpulan itu mengaku bahawa aktivisnya telah membunuh wartawan wanita berusia 29 tahun berkenaan.

“Semasa kami berusaha menyerang musuh, Lyra McKee telah terbunuh secara tragik ketika berdiri di samping pasukan musuh,” menurut kumpulan itu. 

“IRA memohon maaf dengan penuh tulus ikhlas kepada teman hidup, keluarga dan rakan Lyra McKee atas kematiannya,” katanya.

McKee, yang mengikuti satu operasi polis di kawasan Creggan di bandar Londonderry, telah maut ditembak pada Khamis malam.

Penolong Ketua Konstabel Mark Hamilton berkata insiden tembakan itu berlaku ketika polis mencari peluru dan senjata api selepas mendapat maklumat bahawa serangan ganas telah dirancang pada hujung minggu Hari Easter.

Beliau menyifatkan kematian McKee sebagai sesuatu yang “dahsyat dan tidak wajar.”

“Seorang lelaki bersenjata telah melepaskan tembakan ke arah kawasan kediaman dan akibatnya, telah mencederakan Cik McKee,” menurut Hamilton dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Para pegawai segera memberikan bantuan kecemasan sebelum mengangkut mangsa ke belakang kenderaan Land Rover dan membawanya ke hospital. Tragisnya, beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.”

Sempadan antara Ireland Utara dan Republik Ireland telah menjadi antara isu paling rumit dalam rundingan Brexit antara United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).

UK dan Republik Ireland telah menandatangani satu perjanjian, yang menyaksikan Amerika Syarikat dan lapan parti politik sebagai orang tengah, di Ireland Utara pada 10 April 1998.

Perjanjian itu – yang dikenali sebagai Perjanjian Good Friday – sebahagian besarnya menyaksikan berakhirnya keganasan zaman konflik The Troubles, yang menyebabkan kira-kira 3,500 orang kehilangan nyawa mereka.

Sejak UK mengundi untuk meninggalkan EU pada 2016, ketegangan di Ireland Utara semakin memuncak kerana sempadan keras antara Republik Ireland mengancam untuk merungkai perjanjian yang rapuh itu. – Bernama, 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen