SABAH sentiasa mengambil pendekatan lebih baik dalam rundingannya dengan kerajaan persekutuan di semenanjung kerana pemimpinnya memilih pendekatan diplomatik bagi memastikan negeri itu menikmati hak seiringi dengan negeri lain di Malaysia.
Menteri Umno, Salleh Said Keruak yang juga bekas ketua menteri Sabah dari 1994 hingga 1996 berkata pemimpin di negeri Borneo itu sering menggunakan cara berhemah dalam isu berkaitan hak negeri itu.
“Kebijaksanaan adalah pendekatan para pemimpin kita sejak sekian lama. Berunding secara berhemah juga satu pendekatan yang terbaik dan selari dengan budaya kita,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata setiap negeri mahukan pembangunan dan Sabah tidak dipinggirkan.
“Setiap negeri mahu maju. Tidak benar Sabah dipinggirkan kerana terbukti dengan belanjawan yang diperuntukkan kepadanya setiap tahun. Sekarang, sudah ramai wakil Sabah anggotai Kabinet. Saya boleh sampai secara langsung dengan perdana menteri.
Salleh berkata demikian ketika ditanya adakah Sabah tidak ke depan dalam soal membabitkan hak negeri seperti isu cukai pelancongan yang mahu dilaksanakan kerajaan persekutuan.
Sabah dan Sarawak sebelum ini bercanggahan pendapat dengan kerajaan persekutuan dan dua negeri itu bersepakat untuk menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan.
Dua negeri itu kemudiannya mahu perbincangan diadakan dengan kerajaan persekutuan berhubung agihan kutipan cukai selepas bersetuju untuk melaksanakannya bermula 1 September.
Sabah akan terus aman dan membangun
Salleh yang juga bendahari Umno berasal dari Kota Belud berkata beliau berharap Sabah akan terus aman dan maju tanpa mempedulikan usaha memecahkan perpaduan negerinya yang mencapai 54 tahun pada 16 September ketika Malaysia dibentuk.
“Saya berharap rakyat di Sabah tetap hidup aman damai tanpa terpengaruh oleh provokasi pihak yang ingin menggugat keharmonian kaum.
“Jangan keruhkan keadaan dengan membangkitkan isu kaum dan agama. Kita ada lebih 32 kaum di Sabah yang hidup aman damai dan harmoni sejak dulu lagi dan saya harap suasana seumpama ini perlu dipertahankan.
“Dan kita perlu berhati-hati dan tidak membenarkan pihak tertentu mengeruhkan keadaan yang impaknya akan membinasakan perpaduan yang terjalin sekian lama,” katanya.
Salleh berkata untuk mengukuhkan perpaduan semenanjung perlu lebih banyak interaksi dengan Sabah dan Sarawak.
“Kalau kita banding dulu dan sekarang, banyak perubahan berlaku dalam hal memperbaiki hubungan kedua-dua wilayah. Penting untuk banyak lagi interaksi antara masyarakat Sabah Sarawak dan semenanjung. Bila ada interaksi bermakna kita ada integrasi.
“Kita sama tiada perbezaan yang besar hanya berada di wilayah yang berbeza, kalau orang semenanjung nak peluang pekerjaan, ekonomi begitu juga orang Sabah dan Sarawak.
“Cuma terlalu banyak politik tapi data menunjukkan daripada segi peruntukan dan sebagainya Sabah dan Sarawak diutamakan,” katanya.

Pada 2017, Putrajaya memperuntukkan RM323 juta untuk meningkatkan keselamatan Sabah. Manakala sebanyak RM3.784 bilion diperuntukkan Bajet Sabah 2017 bertemakan “Rakyat Dijiwai, Kemakmuran Dinikmati”.
Jumlah keseluruhan peruntukan diberikan dari 2014 hingga 2016 berjumlah RM3.116 bilion.
Daripada segi pembangunan pula, Salleh tidak bersetuju dengan pembandingan Sabah dengan negeri lain kerana faktor geografi negeri itu yang lebih luas.
“Tidak adil kalau hendak dibandingkan tahap pembangunan di Sabah dan semenanjung. Kerajaan juga melihat keutamaan dalam membangunkan satu-satu kawasan.
“Di pedalaman luas tapi penduduk sikit, contohnya Kinabatangan hampir sama besarnya dengan Pahang tetapi berapa pula beza penduduk Pahang dengan Kinabatangan? Yang penting keperluan asas disediakan mengikut keutamaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan terus maju dan seiring dengan negara lain meskipun dihujani pelbagai parti termasuk parti tempatan Sabah.
“Kita kerajaan demokrasi dan sudah pasti parti baharu akan menyemarakkan lagi politik di Sabah.
“Saya yakin rakyat akan terus bersama kerajaan yang telah membawa banyak pembangunan kepada rakyat di negeri ini,” kata bekas yang dipertua negeri Sabah itu. – 17 September, 2017.
Komen