Duti import lebih tinggi beri kesan kepada negara, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Proton adalah satu contoh perlindungan kerajaan bagi memacu pertumbuhan industri automobil tempatan dengan mengenakan mengenakan duti import ke atas jenama kereta asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

MENAIKKAN duti import bagi industri tertentu untuk membantu menggalakkan pengambilan produk tempatan boleh memakan diri dan mengakibatkan tindakan balas dari negara lain, kata pakar cukai.

Idea memperluaskan skop duti import hanya boleh menjadi langkah sementara, kata mereka.

Mengenakan duti import jangka panjang ke atas barangan asing mungkin menyebabkan tindakan balas daripada negara pengeksport, kata Koong Lin Loong rakan pengurusan K-Konsult Taxation Sdn Bhd, memberitahu The Malaysian Insight.

Negara lain pula boleh mengenakan tarif ke atas produk Malaysia, dan ini akan menjejaskan eksport, menjejaskan jumlah dagangan kita, katanya.

“Dalam jangka masa panjang terutamanya, industri kecil dan sederhana Malaysia (IKS) akan menghadapi masalah.

“Ia tidak sepatutnya dikekalkan. Apabila anda melindungi, anda melindungi kanak-kanak, bukan orang dewasa. Anda biarkan anak membesar dan bersaing dengan orang lain.

“Dalam jangka masa panjang, ia adalah untuk menggalakkan syarikat Malaysia memiliki produk yang boleh bersaing dengan barangan luar negara dari segi kualiti dan harga.”

Produk kereta dan pertanian dari luar negara adalah beberapa contoh barangan yang dikenakan duti import.

Rasional bagi cukai itu adalah untuk melindungi dan merangsang produk tempatan dalam kategori yang sama.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada Selasa lalu yang kerajaan mungkin mempertimbangkan penyusunan semula dasar cukai yang cenderung kepada import.

Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun kerajaan boleh mengubah dasar, ia tidak boleh memaksa orang untuk membeli barangan tempatan.

Koong berkata kerajaan boleh melindungi industri tempatan dengan potensi untuk berkembang dan bersaing dengan jenama antarabangsa dengan mengenakan duti import ke atas produk import yang sama.

Bagaimanapun, ini sepatutnya menjadi langkah sementara dan tidak kekal, katanya.

Ditanya sama ada terdapat sebarang kesan meliberalisasikan produk selepas tempoh tertentu, Koong berkata harga produk Malaysia akan kekal lebih berpatutan memandangkan kekurangan perbelanjaan logistik berbanding barangan import.

Kebaikannya, syarikat Malaysia mungkin sudah mempunyai pengalaman menghasilkan barangan berkualiti pada masa segmen itu diliberalisasikan.

Katanya, Proton adalah satu contoh perlindungan yang baik oleh kerajaan bagi memacu pertumbuhan industri automobil tempatan dengan mengenakan duti import kepada jenama kereta asing.

Sekiranya penstrukturan semula berlaku, ia akan melibatkan peluasan skop barangan yang dikenakan cukai, kata Koong.

Beliau berkata segmen kereta, pertanian dan barangan mewah boleh menjadi sebahagian daripada sektor yang terlibat. – 23 April, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen