PERDAGANGAN barter senjata api-untuk-minyak sawit bagi peralatan dan aset pertahanan adalah satu kaedah yang boleh diterima bagi kerajaan yang mempunyai bebanan hutang tetapi sebaiknya pembelian peralatan ketenteraan dilakukan secara tunai apabila kedudukan kewangan negara kukuh, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).
Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berkata Malaysia pernah membeli senjata dan peralatan untuk pertahanan menggunakan kaedah yang sama, sambil menambah ia adalah selamat, selagi terma kontrak itu seimbang dan jelas.
“Kita sudah melakukannya sebelum ini, membuat pembelian pertama melalui perdagangan tukar barang. Kita memberi mereka minyak sawit,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Malaysia membeli 18 jet pejuang MiG-29 Fulcrum dari Rusia dengan harga AS$600 juta pada 1994, melalui perdagangan tukar barang. Minyak sawit dan produknya berjumlah AS$95 juta merupakan sebahagian daripada pembayaran bagi perjanjian itu.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan Putrajaya mencadangkan pertukaran minyak sawit untuk senjata dengan Rusia, di mana beliau sedang dalam lawatan rasmi.
Arshad berkata walaupun perjanjian itu perlu untuk memastikan peralatan ketenteraan negara sentiasa terkini dan diselenggara dengan baik, Putrajaya perlu berusaha meningkatkan belanjawan untuk membeli peralatan pertahanan.
“Tentu sahaja tunai lebih baik daripada perdagangan barter,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut.
Pengarah Perhubungan Awam Patriot, Kapten Wong Ang Peng, bersetuju perdagangan barter adalah baik, terutamanya semasa “tekanan terhadap ekonomi negara kita”.
“Tetapi apabila kita (secara kewangan) lebih baik, sudah pasti ada keperluan membelanjakan wang bagi aset baru untuk keselamatan, terutama maritim,” katanya.
November lalu, Putrajaya memotong bajet pertahanan sebanyak 10% tahun kepada RM13.91 bilion untuk 2019.
Ia bermakna perbelanjaan pertahanan tahun ini jatuh ke paras terendahnya dalam bahagian belanjawan kerajaan sejak 1980-an. – 23 April, 2019.
Komen