Projek Taman Rimba Kiara tunggu persetujuan penduduk, kata Khalid Samad


Diyana Ibrahim

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata pihaknya menahan kelulusan diberikan pentadbiran sebelum ini untuk meneruskan projek pembangunan di Taman Rimba Kiara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

PROJEK pembangunan di Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur tidak akan diberi kebenaran untuk dimulakan sehingga dapat persetujuan penduduk, jamin Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Kata beliau, pihaknya menahan kelulusan yang diberikan pentadbiran sebelum ini sementara menunggu proses rundingan dengan penduduk terlibat, yang membantah pembangunan itu sejak awal.

“Perkara ini tidak selesai sebab masih ada bantahan dari persatuan penduduk TTDI. Kerana itu saya tidak benarkan kerja dimulakan sehingga dapat persetujuan semua penduduk,” katanya, dalam wawancara bersama media di Putrajaya, semalam.

Khalid berharap isu projek Taman Rimba Kiara itu dapat diselesaikan tahun ini juga.

Beliau juga mengulangi gesaan kepada semua pihak untuk mencari jalan tengah, dan mengingatkan pihak pemaju telah bersetuju untuk mengurangkan pembinaan lapan blok kondominium mewah kepada empat buah.

“Pemaju juga bersedia mengurangkan tanah daripada 12 ekar (4.8 hektar) digunakan hanya menggunakan lapan ekar (3.2 hektar). Maksudnya empat ekar akan dikembalikan.

“Pangsapuri mampu milik untuk penghuni rumah panjang akan diteruskan ikut perjanjian lama,” kata Khalid.

“Saya nak selesai dalam tahun ini juga sebab penduduk rumah panjang sudah tunggu 36 tahun untuk mereka mendapatkan rumah,” tambahnya.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan muktamad mengenai cadangan pembangunan semula kawasan Taman Rimba Kiara dan nasib penduduk rumah panjang terlibat, selepas Khalid membentangkan dua pilihan untuk mengecilkan pembangunan yang dirancang di situ.

Pilihan itu ialah yang pertama, cadangan asal daripada bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sudah dikemas kini, dan yang kedua, cadangan Yeoh untuk mengehadkan pembangunan di kawasan rumah panjang tidak lebih 1.8 hektar.

Rumah panjang yang menempatkan hampir 100 buah keluarga bekas pekerja estet itu terletak dekat dengan Kuil Sri Maha Mariamman di TTDI dan bertentangan Taman Rimba Kiara.

Penduduk TTDI membantah projek itu sejak taman itu dizonkan semula untuk pembangunan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Mereka mendakwa projek yang diluluskan oleh Tengku Adnan itu terlibat dengan rasuah dan kepentingan peribadi.

Khalid sebelum ini dikecam hebat oleh persatuan penduduk dan aktivis alam sekitar susulan kenyataannya membayangkan projek itu boleh diteruskan sekiranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membayar pampasan RM150 juta.

Peguam Ambiga Sreenevasan dan Derek Fernandez sebaliknya berkata projek itu tidak sah dan boleh dibatalkan tanpa perlu terikat dengan syarat perjanjian. – 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen